Penganggur didakwa rompak telefon pelajar sekolah, menyamar polis

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA LUMPUR: Seorang penganggur didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua pertuduhan merompak telefon bimbit milik tiga pelajar sekolah menengah dan menyamar sebagai anggota polis, Isnin lepas.

Muhammad Aqil Akbar Azizan, 22, bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas kedua-dua pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim M.M. Edwin Paramjothy.

Tertuduh didakwa telah merompak dengan cara melarikan telefon bimbit pelbagai jenama milik tiga remaja lelaki kesemuanya berumur 17 tahun di hadapan sebuah sekolah di Cheras pada 9 pagi, 20 Julai lepas mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun dan juga dikenakan denda atau sebatan, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, Muhammad Aqil Akbar dituduh menyamar sebagai anggota polis terhadap tiga pelajar itu di sebuah pondok rehat Taman Mulia, Cheras di sini pada 9 pagi, 20 Julai lepas mengikut Seksyen 170 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Nurliyana Mohd Jafri tidak menawarkan jaminan terhadap tertuduh manakala Muhammad Aqil Akbar yang tidak diwakili peguam tidak membuat rayuan.

-Advertisement-

Mahkamah tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan menetapkan 10 Ogos untuk sebutan semula kes.

– BERNAMA

-Advertisement-


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373