Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman ketuai penerima darjah kepahlawanan, pingat keberanian polis

Estimate Reading Time: < 1 minute

PUTRAJAYA, — Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini berkenan mengurniakan darjah Panglima Gagah Pasukan Polis (PGPP) kepada Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Huzir Mohamed.

-Advertisement-

Seri Paduka mengurniakan darjah pangkat pertama Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu kepada Huzir pada hari kedua istiadat pengurniaan darjah kepahlawanan pasukan polis dan pingat keberanian polis yang berlangsung di Istana Melawati di sini.

Sesi pertama istiadat berkenaan berlangsung Selasa lepas.

Turut berangkat pada istiadat pengurniaan itu ialah Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Tiga lagi penerima PGPP ialah Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Omar Mammah, Ketua Polis Pulau Pinang Datuk T. Narenasagaran dan Timbalan Pengarah Cawangan Khas I Bukit Aman Datuk Rosly Abas.

-Advertisement-

Pada istiadat hari ini, 330 pegawai polis menerima darjah kepahlawanan pasukan polis dan pingat keberanian polis.

Daripada jumlah itu, 56 menerima darjah kebesaran pangkat kedua iaitu Panglima Setia Pasukan Polis, 74 menerima darjah Pahlawan Pasukan Polis, 18 menerima darjah Kesatria Pasukan Polis sementara 178 penerima darjah Bentara Pasukan Polis.

Turut hadir pada istiadat tersebut ialah Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Mohd Azis Jamman dan Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador.
— BERNAMA