KUALA TERENGGANU: Seorang peniaga di Pasar Besar Kedai Payang (PBKP) di sini, dianggarkan kerugian hampir RM1.5 juta apabila lebih 500 songket, kain batik dan pelekat serta cenderahati yang disimpan di stor dekat Bazar Warisan di sini, lesap dilarikan sekumpulan penjenayah.
Bagaimanapun, kegiatan licik kumpulan berkenaan yang dipercayai dilakukan sejak tiga minggu lalu tumpas apabila seorang daripada empat lelaki ditahan selepas memecah masuk premis berkenaan, kira-kira jam 8.30 malam tadi.
Penahanan lelaki warga Rohingya berusia 20-an itu turut menemui 55 helai songket asli Terengganu bernilai RM1,800 sehelai yang cuba dilarikan, manakala empat rakan jenayahnya berjaya meloloskan diri.
Penyelia kedai songket, Siti Rabiatul Tajulnisa Muhd Tajuddin, berkata kejadian disedari beberapa ahli keluarga dan pekerja mereka yang membuka gerai menjual barang bayi terpakai di depan bazar berkenaan.
“Abang yang berada di depan gerai ternampak seorang lelaki turun daripada kedai dengan membawa guni lalu menahannya sambil meminta dia membuka guni berkenaan.
“Alangkah terkejutnya apabila guni dibuka ada 55 helai songket di dalamnya. Abang kemudian ternampak beberapa rakan lelaki itu dan cuba menahan mereka dengan bantuan pekerja dan orang ramai yang berada di situ, namun mereka berjaya melarikan diri,” katanya ketika ditemui di PBKP, di sini, hari ini.
Siti Rabiatul berkata, kedai menjual songket di Bazar Warisan milik keluarga itu ditutup sejak enam bulan lalu berikutan bangunan itu dibaik pulih sejak Oktober lalu dan mereka memang menyedari kehilangan barang sejak tiga minggu lalu, namun tidak dapat mengesan angkara siapa.
“Kedai itu ditutup tetapi stok songket, kain pelikat, batik dan cenderahati disimpan di situ. Stor itu sudah beberapa kali dipecah masuk sehingga kita terpaksa menukar kunci mangga sebanyak tiga kali.
“Jika diikutkan, lebih 500 helai songket asli yang dijual pada harga lebih RM1,800 sehelai yang keseluruhannya bernilai hampir RM1 juta, ratusan kain pelekat bernilai RM72,000 dan pelbagai jenis cenderahati yang disimpan dalam stor berkenaan, namun semuanya lesap,” katanya.
Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Razmi Mohd Gunnos, ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian dan penahanan suspek.
Beliau berkata, susulan penangkapan suspek berusia 30-an, pihaknya turut merampas dua karung guni berisi kain songket, batik dan pelekat dan kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana melakukan pecah kedai.
Katanya, kejadian dipercayai didalangi lebih seorang penjenayah dan pihaknya kini menggiatkan usaha memburu suspek. -Bharian