Peniaga tepung pelita kongsi rezeki, tawar 50 hadiah sehari

Estimate Reading Time: < 1 minute

REZEKI Ramadan bukan sekadar pada jualan yang laris, tetapi juga pada senyuman pelanggan yang pulang dengan hati gembira.

Itu prinsip dipegang seorang peniaga tepung pelita di Inn Tepung Pelita, One Krubong di Melaka, yang tampil dengan kelainan apabila menawarkan 50 hadiah gores dan menang setiap hari sepanjang bulan mulia ini.

Azlina Abdullah, 49, yang berasal dari Petaling Jaya, Selangor, berkata inisiatif itu diperkenalkan sebagai tanda penghargaan kepada pelanggan setia selain menyemarakkan suasana Ramadan yang sinonim dengan budaya memberi.

Menurutnya, pelanggan yang membeli tiga pek tepung pelita berharga RM20 layak menyertai cabutan kad gores dan berpeluang memenangi pelbagai hadiah berupa bekas makanan serta botol minuman yang disediakan.

“Ini kali pertama saya buat sekadar suka-suka untuk menggembirakan pelanggan.

“Sebelum ini ada juga yang buat gores dan menang seperti ini, jadi saya cuba cipta kelainan pada jualan Ramadan ini,” katanya yang sudah empat tahun berniaga di lokasi berkenaan.

Azlina berkata, sambutan diterima begitu menggalakkan apabila sebanyak 28 dulang tepung pelita yang dibawa masuk setiap hari dari Kampung Kubang, Nilai, Negeri Sembilan habis terjual.

Katanya, sebungkus tepung pelita dijual pada harga RM7, manakala promosi tiga pek RM20 melayakkan pembeli menyertai gores dan menang.

-Advertisement-

“Ini juga satu daripada jalan untuk saya berniaga sambil bersedekah pada Ramadan, Insya-Allah saya yakin pulangan itu tetap ada,” katanya.

Menurut Azlina, setiap hari dia berulang-alik dari Kampung Kubang ke Melaka untuk mengambil bekalan sebelum memulakan jualan pada jam 3 petang hingga waktu berbuka puasa.

Katanya, peluang berniaga di lokasi berkenaan diperoleh selepas seorang rakan yang sebelum ini berniaga di situ sakit dan menyerahkan tempat berkenaan kepadanya.

“Jika bukan Ramadan saya berniaga sarapan di Alor Gajah dan hanya menjual tepung pelita pada Sabtu dan Ahad.

“Bagaimanapun, sepanjang Ramadan ini, saya berniaga setiap hari dan dijangka sehingga 27 Ramadan bergantung kepada bekalan,” katanya.

-BeritaHarian