BRUSSELS: Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet, berkata pusat penipuan sedang memusnahkan ekonomi negaranya dan mencemarkan nama baik negara itu, sambil menolak dakwaan wujudnya pembabitan kerajaan.
Negara itu muncul antara lokasi utama sindiket jenayah yang mengendalikan industri penipuan bernilai berbilion dolar, dengan penipu memperdaya pengguna internet di seluruh dunia melalui hubungan cinta palsu dan pelaburan mata wang kripto.
“Rangkaian penipuan, yang kami sebut ekonomi gelap, sedang memusnahkan ekonomi kami. Ia memberi reputasi buruk kepada Kemboja,” katanya kepada AFP dalam satu wawancara kepada media antarabangsa.
Katanya, keadaan itu turut menjejaskan sektor pelancongan dan pelaburan.
“Inilah sebabnya kami perlu membersihkannya,” katanya.
Tindakan tegas yang diambil setakat ini membawa kepada ribuan tangkapan, menurut pegawai kerajaan, termasuk ekstradisi seorang bekas penasihat kepada pemimpin Kemboja ke China baru-baru ini.
Bagaimanapun, beberapa pakar industri mempersoalkan kesahihan usaha berkenaan dengan merujuk kepada dakwaan hubungan antara pegawai Kemboja dan rangkaian penipuan siber.
Hun Manet, yang mengambil alih jawatan Perdana Menteri daripada bapanya, Hun Sen pada 2023, mengakui jenayah itu secara tidak langsung merangsang sebahagian aktiviti perniagaan dan menyediakan peluang pekerjaan di negara itu, namun menafikan Kemboja meraih keuntungan daripadanya.
“Ya, pusat penipuan mungkin memberi kesan langsung kepada hartanah, pelaburan tertentu, pembinaan dan pembelian bagi mewujudkan pusat berkenaan.
-Advertisement-
“Tetapi kebanyakan hasilnya tidak masuk ke dalam kerajaan Kemboja,” tegasnya.
Kemboja menjadi tuan rumah kepada puluhan pusat penipuan dengan dianggarkan 100,000 individu – ramai daripadanya mangsa pemerdagangan manusia – menjalankan penipuan dalam talian, menurut pakar.
Laporan 2024 oleh Institut Keamanan Amerika Syarikat (AS) menganggarkan pulangan daripada penipuan siber di Kemboja melebihi AS$12.5 bilion (RM48.5) setahun, bersamaan separuh daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) rasmi negara itu, namun Hun Manet menafikan negara itu bergantung kepada kegiatan penipuan.
“Ramai mengatakan KDNK Kemboja bergantung kepada aktiviti penipuan. Tidak. Kami bergantung kepada ekonomi tulen seperti pelancongan, pembuatan dan sektor lain,” katanya.
Beroperasi dari beberapa negara Asia Tenggara, pelaku penipuan itu ada kalanya sukarela, namun ada juga warga asing yang menjadi mangsa pemerdagangan manusia dan dipaksa bekerja di bawah ancaman penderaan.
Pada peringkat awal, mereka kebanyakannya menyasarkan penutur bahasa Cina – yang mengalami kerugian berbilion dolar sehingga mencetuskan kemarahan awam – sebelum meluaskan operasi dalam pelbagai bahasa untuk menipu mangsa di seluruh dunia.
-BeritaHarian