Penjab ubi kayu karamel menu ‘berhantu’

Estimate Reading Time: 2 minutes

ENGGAN melihat makanan tradisional negeri Perak terus dilupakan terutama generasi muda, mendorong pemilik restoran memperkenalkan juadah manisan penjan ubi kayu sebagai antara menu menarik yang ditawarkan di premis itu.

-Advertisement-

Justeru, sejak enam tahun lalu, Mat Rezeki Cafe & Bistro, menjadikan penjan ubi kayu untuk dihidangkan kepada pelanggan sebagai menu istimewa, dengan tidak menggunakan gula putih atau gula merah sebaliknya memilih karamel sebagai bahan manisan.

Penolong pengurus restoran, Muhammad Ahsan Hanafi Khairisazizi, 28, berkata pihaknya menghasilkan penjan ubi kayu menggunakan manisan karamel ini, dicipta untuk kelainan dan beri nafas baharu kepada juadah tradisi ini sekali gus menarik kehadiran pelanggan.

“Dari segi rasa, penggunaan karamel ini menghasilkan rasa manis yang lebih ringan, berlemak, lebih harum dan enak berbanding penggunaan gula putih atau gula merah,” kata anak muda kelahiran Kuala Kangsar itu.

Proses penyediaan juadah tidak rumit berbanding kuih tradisional lain, selain hanya mengambil masa sekitar 15 hingga 20 minit untuk menyiapkan satu hidangan.

“Selepas ubi direbus sehingga empuk, kemudian ia akan dicampurkan dengan cairan karamel dan digaulkan bersama daun pandan bagi menaikkan bau sehingga sebati menggunakan api (dapur) yang sederhana,” katanya.

Juadah tradisi berasaskan ubi kayu berharga RM5 sepiring, diminati pelbagai golongan termasuk kaum bukan Melayu.

“Kami boleh jual kira-kira 500 pinggan penjan ubi dalam masa seminggu.

Permintaan juadah ‘berhantu’ ini digemari ramai dan kebiasaannya akan meningkat pada cuti hujung minggu dan cuti umum.

-Advertisement-

“Kami mempunyai seorang pelanggan tetap berbangsa India yang kebiasaannya datang ke restoran kami dua atau tiga kali seminggu.

Setiap kali datang, hidangan wajib yang dipesan adalah penjan ubi,” katanya.

Pihaknya turut mendapat banyak tempahan luar yang meminati makanan tradisional itu khususnya daripada masyarakat setempat serta pelanggan sekitar Ipoh dan Taiping untuk hidangan kenduri kesyukuran, perkahwinan dan acara keraian di tempat kerja.

Muhammad Ahsan berkata. selain penjan ubi kayu karamel, restoran menawarkan set hidangan ubi kayu rebus.

Tambahnya, pelanggan boleh memilih sama ada ingin merasai hidangan berkenaan bersama sambal ikan bilis, sambal ikan sardin, kari daging atau kari kambing.

“Biasanya ubi kayu rebus ini dicicah bersama gula atau ikan kering tapi di sini kami tampilkan sedikit kelainan melalui sambal ikan bilis, sambal ikan sardin, kari daging atau kari kambing iaitu setiap set hidangan berharga RM5 kecuali bersama kari kambing iaitu RM6,” katanya.

Ramai menyukainya dan ada dalam kalangan mereka menyifatkan hidangan itu mengembalikan nostalgia serta kenangan lama.

“Ada di antara pelanggan yang beritahu bila menjamah hidangan ini menyebabkan mereka teringat kenangan di zaman kanak-kanak dahulu yang dijadikan menu utama keluarga bagi meneruskan hidup yang serba kekurangan,” katanya.
-BERNAMA
-BeritaHarian


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373