Penjara Kepayan giat buat persedian hadapi PKPD

Estimate Reading Time: < 1 minute

KOTA KINABALU: Usaha kini giat dilakukan bagi memastikan perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD) di Penjara Kepayan dan kuarters anggota serta pegawai di Kampung Matambai dilaksanakan dengan lancar.

-Advertisement-

Pegawai bertanggungjawab Jabatan Penjara Sabah Nora Musa berkata, persediaan itu perlu dilakukan secepat mungkin bagi memastikan mereka yang terjejas mempunyai tempat tidur ketika PKPD mula dilaksanakan iaitu tengah malam ini.

Katanya, kakitangan yang tinggal di luar kuarters akan dipanggil untuk tinggal sementara waktu di kawasan Jabatan Penjara Kepayan manakala mereka yang tinggal di kuarters juga tertakluk dengan PKPD.

“Kita menghadapi sedikit cabaran untuk menangani kakitangan yang tinggal di luar kuarters bersama keluarga mereka.

“Kami harus segera menyediakan keperluan tempat tinggal mereka seperti khemah dan lain-lain keperluan. Hampir 600 warden penjara terlibat PKPD dengan separuh daripadanya tinggal di luar kuarters kakitangan,” katanya ketika dihubungi FMT hari ini.

Sementara itu, Nora berkata seramai 184 daripada hampir 3,000 banduan di penjara berkenaan disahkan positif Covid-19 sehingga 19 Oktober lalu.

“Kami mematuhi arahan Kementerian Kesihatan untuk menjalankan ujian saringan terhadap semua kakitangan serta banduan di sini,” katanya.

-Advertisement-

Ketika ditanya keperluan jabatan itu sepanjang PKPD, Nora berkata ia lebih membantu sekiranya ada pihak sudi memberi sumbangan peralatan perlindungan peribadi (PPE) atau bahan bagi menghasilkannya.

“Di sini kami boleh menjahit sendiri PPE tetapi masih perlukan bahan-bahannya.

“Selain itu, kami juga memerlukan produk seperti sabun, syampu, pelitup muka, sanitasi dan juga bakul makanan untuk diberikan kepada semua kakitangan serta banduan yang terjejas akibat PKPD,” katanya.

Semalam, Menteri Kanan (Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob mengumumkan PKPD akan dilaksanakan di Penjara Kepayan dan kuarters anggota pegawai di Kampung Matambai bermula tengah malam ini hingga 2 November depan.

Sabah dikenakan PKPD selama 2 minggu bermula 20 Oktober hingga 2 November.

Katanya, keputusan itu dibuat berikutan peningkatan kes Covid-19 di 2 lokasi berkenaan. -FMT


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427