LONDON: Penyokong kelab Poland, Legia Warsaw dilarang memasuki stadium untuk perlawanan menentang Aston Villa selepas menyebabkan tiga anggota polis cedera dalam pertembungan di luar Villa Park.
Kekecohan berlaku sebelum sepak mula Liga Konferens Eropah dan polis mengambil keputusan untuk tidak membenarkan penyokong lawan memasuki stadium.
“Kami tidak boleh membenarkan penyokong pelawat memasuki Villa Park susulan kekecohan di luar stadium, yang menyaksikan mercun ditembak ke arah pegawai. Tiga anggota kami cedera,” kata polis Birmingham.
Legia Warsaw mendakwa Aston Villa menyediakan jumlah tiket kurang daripada jumlah ditentukan oleh Kesatuan Bolasepak Eropah (UEFA).
“Aston Villa FC turut menyebabkan suasana sebelum perlawanan menjadi tegang. Bagi kami perkara sedemikian tidak sepatutnya berlaku,” kata Legia Warsaw.
Aston Villa memenangi aksi berkenaan 2-1 hasil jaringan Moussa Diaby pada minit keempat dan Alex Moreno (m-58), manakala gol Warsaw dijaringkan oleh Ernest Muci pada minit ke-20.
– AGENSI
– BeritaHarian