Perak aktifkan semula pusat kuarantin Covid-19

Estimate Reading Time: < 1 minute

IPOH – Pusat kuarantin di Institut Latihan Statistik Malaysia (ILSM), Sungkai akan diaktifkan semula bagi mengurangkan risiko penularan wabak koronavirus (Covid-19) di negeri ini.

-Advertisement-

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, pusat berkenaan mempunyai kapasiti 90 bilik dan akan dibuka dalam masa terdekat.

Menurutnya, walaupun keadaan wabak di negeri ini masih terkawal dengan bilangan kes tertinggi tertumpu di kawasan tertentu, namun kerajaan Perak komited dan berusaha untuk meminimumkan risiko penularan.

“Kita percaya langkah-langkah kawalan seperti mengaktifkan pusat kuarantin akan membantu mengurangkan risiko penularan dengan memastikan individu berisiko dikuarantinkan di pusat kuarantin.

“Sehubungan itu, pusat kuarantin di ILSM akan diaktifkan semula di samping dua hotel sekitar Ipoh yang masih aktif sebagai pusat kuarantin dengan kapasiti 128 bilik bagi kemasukan melalui pintu masuk antarabangsa di negeri ini,” katanya ketika ditemui pemberita di Pejabat Menteri Besar Perak hari ini.

-Advertisement-

Katanya, kerajaan negeri juga telah meletakkan lima lagi pusat kuarantin dalam status bersiap sedia sekiranya diperlukan.

“Lima pusat tersebut ialah Institut Tadbiran Islam Perak (Intim), Institut Latihan Pegawai Awam Perak (ILPA), Teknologi Pendidikan Negeri Perak (TPNP) di Ipoh, Institut Latihan Perindustrian Tanah dan Ukur Negara (Instun) di Tanjung Malim serta Institut Latihan Perindustrian (ILP) di Meru.

“Kelima-lima pusat kuarantin ini sedia untuk diaktifkan sekiranya diperlukan atas nasihat Jabatan Kesihatan Negeri,” katanya. -SINAR HARIAN


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373