Perbincangan Khas Majlis Raja-Raja petang ini jadi tumpuan

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUALA LUMPUR: Tumpuan seluruh negara terarah kepada Perbincangan Khas Majlis Raja-Raja yang dijadualkan berlangsung di Istana Negara, petang ini.

-Advertisement-

Inti pati perbincangan yang dijadualkan berlangsung pada jam 2.30 petang itu, terarah kepada perlantikan seorang Ahli Parlimen yang mendapat sokongan majoriti sebagai perdana menteri, selaras Perkara 43(2)(a), Perlembagaan Persekutuan, susulan peletakan jawatan oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 16 Ogos lalu.

Perbincangan petang ini adalah yang ketiga berlangsung di Istana Negara sejak Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menaiki takhta Yang di-Pertuan Agong pada 31 Januari 2019 dengan yang pertama berlangsung pada 25 Oktober 2020.

Perbincangan petang ini diadakan selepas Yang di-Pertuan Agong berkenan menerima menghadap 114 Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN), Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Bebas, semalam.

Ahli Parlimen daripada Pakatan Harapan (PH) dan sekutunya setakat pagi ini, tidak menerima panggilan menghadap Seri Paduka.

Ketika sesi menghadap semalam, Yang di-Pertuan Agong mendengar sendiri Ahli Parlimen yang secara bergilir-gilir menyembah maklum secara lisan sokongan mereka kepada calon perdana menteri.

Setiap Ahli Parlimen juga mengesahkan akuan bersumpah (SD) yang ditandatangani mereka dengan menamakan seorang calon perdana menteri yang dititahkan dihantar kepada Istana Negara kelmarin.

Selain majlis menghadap secara fizikal di Istana Negara, Yang di-Pertuan Agong juga berkenan menerima menghadap secara maya daripada Ahli Parlimen daripada GPS yang berada di Kuching, Sarawak.

Sesi menghadap itu diadakan selepas mereka menghantar surat akuan bersumpah (SD) bagi menyokong pelantikan Perdana Menteri baharu susulan peletakan jawatan Muhyiddin pada 16 Ogos lalu.

Berdasarkan kenyataan parti dan Ahli Parlimen, setakat ini Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, menjadi pilihan PN, BN dan GPS dengan 114 sokongan sebagai calon Perdana Menteri menggantikan Muhyiddin, manakala PH kekal mencalonkan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

-Advertisement-

Kelmarin, Yang di-Pertuan Agong bertemu bertemu pemimpin parti politik termasuk Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.

Yang masuk menghadap Seri Paduka ialah Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng; Presiden AMANAH, Mohamad Sabu dan Presiden PEJUANG, Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Dalam pertemuan itu, baginda menitahkan supaya semua parti politik di negara ini, bersatu menghadapi COVID-19 dan juga masalah ekonomi.

Al-Sultan Abdullah turut menitahkan perdana menteri yang akan dilantik, mengemukakan segera usul undi percaya di Dewan Rakyat bagi menentukan keabsahan jawatan beliau.

Seri Paduka juga mengingatkan ketua dan wakil parti politik yang menang, seharusnya menghulurkan tangan bekerjasama dengan pihak yang tidak berjaya dan bersedia bekerja dalam satu pasukan demi mengharmonikan suasana.

Sebelum ini, Mesyuarat Khas Raja-Raja Melayu diadakan pada 28 Februari tahun lalu di Istana Negara bagi membincangkan perkembangan politik semasa susulan peletakan jawatan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri ketujuh.

Ia menyaksikan kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang mentadbir negara selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), tumbang.

Majlis Raja-Raja kemudiannya sekali lagi berbincang pada 16 Jun lalu atas inisiatif Yang di-Pertuan Agong berkenaan usaha memerangi penularan jangkitan wabak COVID-19 dan pelaksanaannya sepanjang tempoh darurat.

-BH