Kerjasama Strategik Perkukuh Tadbir Urus AI

Estimate Reading Time: < 1 minute

PUTRAJAYA 16 Oktober 2026 (The Capital Post) – Kementerian Digital meneroka kerjasama strategik bersama Persatuan Industri Komputer dan Multimedia Malaysia (PIKOM) serta Telekom Malaysia Berhad (TM) bagi memperkukuh kesiapsiagaan negara dalam tadbir urus kecerdasan buatan (AI) selaras dengan aspirasi Malaysia untuk menjadi Negara AI 2030.

Usaha tersebut dibincangkan dalam pertemuan antara Ketua Setiausaha Kementerian Digital, Datuk Fabian Bigar, dengan delegasi PIKOM yang diketuai Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ong Kian Yew, serta delegasi TM yang diketuai Naib Presiden Kanan Credence HR Digital Solutions, Dinakaran A/L Baliedaa @ Krishnan, pada 13 Oktober lalu.

Perbincangan memberi tumpuan kepada peranan industri dalam menyokong agenda tadbir urus AI negara, termasuk pembangunan laluan pensijilan profesional dan cadangan pelaksanaan program AI Governance Masterclass bagi meningkatkan pengetahuan serta kemahiran penjawat awam dalam bidang berkenaan.

Selain itu, pertemuan tersebut turut membincangkan sumbangan sektor industri dalam menyokong usaha kerajaan ke arah pembentangan Rang Undang-Undang (RUU) Tadbir Urus AI di Parlimen, di samping memperkukuh kompetensi profesional dan keupayaan institusi untuk melaksanakan prinsip tadbir urus AI secara berkesan.

-Advertisement-

Kerjasama antara kerajaan dengan pemain industri dilihat sebagai langkah penting dalam membina kerangka tadbir urus AI yang mantap, sekali gus memastikan penggunaan teknologi berkenaan dilaksanakan secara bertanggungjawab dan menyokong agenda transformasi digital negara.

Kementerian Digital akan meneruskan usaha memperkukuh sinergi dengan pihak industri bagi meningkatkan kesiapsiagaan Malaysia memanfaatkan teknologi AI secara bertanggungjawab ke arah merealisasikan aspirasi Negara AI 2030 – The Capital Post