Sabah Diperkasa Sebagai Hab Pelaburan Hijau

Estimate Reading Time: < 1 minute

KOTA KINABALU 14 Julai 2026, (The Capital Post) – Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) terus memperkukuh agenda pembangunan mampan negara dengan mengangkat Sabah sebagai antara destinasi berpotensi tinggi bagi pelaburan hijau menerusi penganjuran Sabah-Asia Pacific Impact Investing for Sustainable Development Summit 2026.

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, YB Dato’ Sri Arthur Joseph Kurup berkata, Sabah memiliki kelebihan semula jadi yang signifikan termasuk keluasan kawasan hutan, kekayaan biodiversiti serta sumber alam yang mampu menarik minat pelabur dalam sektor teknologi hijau dan pembangunan lestari.

Menurut beliau, penganjuran persidangan berkenaan di Sabah merupakan langkah strategik untuk memperluaskan peluang kerjasama antara pelabur, penggiat industri dan penyedia teknologi hijau. Platform tersebut turut membuka ruang kepada sesi padanan perniagaan yang dijangka merangsang pelaburan berimpak tinggi dalam sektor ekonomi hijau.

-Advertisement-

Beliau turut menjelaskan bahawa tahun 2026 menjadi tempoh penting bagi pelaksanaan beberapa inisiatif utama NRES, termasuk pelancaran Dasar Pasaran Karbon Kebangsaan (DPKK) serta pembentangan Rang Undang-Undang Perubahan Iklim Negara (RUUPIN). Kedua-dua inisiatif itu akan menyediakan hala tuju dasar dan kerangka pelaksanaan yang lebih menyeluruh bagi memperkukuh tindakan terhadap perubahan iklim serta menyokong pembangunan yang lebih mesra alam.

Dalam pada itu, peranan Malaysian Green Technology and Climate Change Corporation (MGTC) dan Malaysia Forest Fund turut disifatkan sebagai pemangkin penting dalam memperluaskan peluang pelaburan hijau di Sabah. Kerjasama strategik melalui agensi-agensi tersebut mencerminkan komitmen berterusan NRES untuk memperkasakan ekonomi hijau negara sambil memastikan keseimbangan antara pembangunan dan usaha pemuliharaan alam sekitar. – The Capital Post