Petronas akan terus cari gali di Laut China Selatan – Anwar

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA LUMPUR: Petronas akan terus melaksanakan kerja cari gali minyak di kawasan sedia ada di Laut China Selatan, namun terbuka untuk rundingan jika China merasakan kawasan berkenaan adalah wilayah mereka.

-Advertisement-

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata perkara itu dinyatakan beliau kepada Presiden China, Xi Jinping dan rakan sejawatnya, Li Qiang dalam lawatannya ke Beijing, baru-baru ini.

“Memang perkara ini dibangkitkan kerana terdapat tuntutan bertindih oleh kedua-dua pihak di Laut China Selatan, terutama kebimbangan China dan kerana Petronas menjalankan kegiatan besar-besaran di satu kawasan yang dituntut China.

“Saya nyatakan sendiri kepada Presiden dan Perdana Menteri China, bahawa Malaysia menganggap ini kawasan Malaysia, maka Petronas akan teruskan cari gali di kawasan itu.

-Advertisement-

“Bagaimanapun, jika China rasa ini hak mereka, kita boleh buka untuk rundingan,” katanya pada sesi soal jawab Menteri di Dewan Rakyat.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Seri Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu) mengenai sama ada Perdana Menteri ada berbincang dengan pemimpin China mengenai keselamatan di rantau ini, terutama kehadiran tentera China di Laut China Selatan. – Berita Harian