PKPD di KL bawah 4 polis daerah

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA LUMPUR: Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di 15 lokaliti di ibu negara bermula 3 hingga 16 Julai depan, terletak di bawah pentadbiran polis daerah Wangsa Maju, Sentul, Cheras dan Brickfields.

-Advertisement-

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Ashari Abu Samah, ketika dihubungi BH mengesahkan lapan lokaliti yang dikenakan PKPD bermula Sabtu ini berada dalam daerah Wangsa Maju.

“PKPD membabitkan Projek Perumahan Rakyat (PPR) Sri Semarak, PPR Kampung Baru Air Panas, Flat Seksyen 1 Wangsa Maju dan Flat Seksyen 2 Wangsa Maju.

“Lokaliti lain di Wangsa Maju yang turut dikenakan PKPD ialah Kampung Padang Balang, Taman Koperasi Polis Fasa 1, Kampung Puah dan Flat Desa Pandan (termasuk Baduri dan Delima),” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai, berkata PKPD di daerah Sentul membabitkan empat lokaliti iaitu Bandar Baru Sentul, PPR Batu Muda, Kampung Batu Muda dan Taman Koperasi Polis Fasa 2.

-Advertisement-

Dua lagi lokaliti di ibu negara yang bakal dikenakan PKPD iaitu Taman Ikan Emas dan Flat Sri Sabah dalam pentadbiran polis daerah Cheras, manakala PPR Kerinchi di bawah pentadbiran polis daerah Brickfields.

Pada masa ini, lima lokaliti di ibu negara dikenakan PKPD iaitu Desa Rejang, Setapak (17 Jun hingga 1 Julai), Kampung Segambut Dalam dan Jalan Kubur serta Pantai Dalam (26 Jun hingga 9 Julai).

Dua lagi lokaliti di ibu negara yang dikenakan PKPD selama dua minggu bermula hari ini hingga 14 Julai ialah Taman Bukit Angkasa dan Pantai Ria, Pantai Dalam.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, hari ini mengumumkan beberapa mukim di Selangor dan lokaliti di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur selama 14 hari bermula Sabtu ini.-BH