PLKS Mahu Kekal Rakan Strategik Kerajaan

Estimate Reading Time: 2 minutes

BANGI 11 September 2026 (The Capital Post) – Pusat Latihan Kemahiran Swasta (PLKS) mahu terus diiktiraf sebagai rakan strategik kerajaan dalam pembangunan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) negara, bukan sekadar berperanan sebagai pelaksana dasar.

Perkara itu menjadi antara mesej utama yang diketengahkan dalam Forum Khas “Mengimbau Sejarah – Perjuangan Pusat Latihan Kemahiran Swasta (PLKS) Mengharungi Cabaran Demi TVET Negara: Kejayaan, Keresahan dan Harapan Menuju Masa Depan” yang berlangsung di Bangi Golf Resort, Selangor, semalam.

Forum tersebut turut menyoroti perjalanan dan sumbangan PLKS sepanjang tiga dekad dalam memperkukuh pembangunan TVET negara, termasuk kerjasama antara sektor swasta dan kerajaan dalam memenuhi perubahan keperluan tenaga kerja mahir.

Kumpulan Pengasas dan Senior TVET Swasta Malaysia berkata PLKS tidak mengharapkan layanan istimewa, sebaliknya memerlukan ekosistem yang stabil, dasar konsisten serta ruang untuk sektor swasta bersama-sama kerajaan mencari penyelesaian terhadap cabaran yang dihadapi.

Institusi TVET swasta yang telah beroperasi selama puluhan tahun, menurut kumpulan itu, mempunyai tenaga pengajar, kemudahan latihan, pengalaman serta jaringan industri yang dibangunkan melalui tempoh yang panjang.

Sehubungan itu, sebarang perubahan dasar yang memberi kesan besar terhadap operasi institusi wajar dilaksanakan melalui proses konsultasi, tempoh peralihan yang munasabah serta penilaian impak bagi memastikan matlamat kerajaan dapat dicapai tanpa menjejaskan kelangsungan penyedia latihan.

Forum berkenaan turut menekankan bahawa pencapaian TVET, khususnya dari aspek kebolehpasaran graduan, merupakan tanggungjawab bersama dan tidak seharusnya dipikul oleh institusi latihan semata-mata.

-Advertisement-

Kerajaan, agensi berkaitan, penyedia latihan, industri, majikan dan graduan masing-masing mempunyai peranan dalam memastikan sistem TVET menghasilkan tenaga kerja yang memenuhi keperluan pasaran.

Menurut kumpulan tersebut, PLKS bertanggungjawab menyediakan latihan berkualiti serta membantu graduan memasuki alam pekerjaan, namun peluang pekerjaan, permintaan tenaga kerja dan kadar gaji turut dipengaruhi oleh keadaan industri, ekonomi serta lokasi pekerjaan.

Dalam pada itu, TVET awam dan swasta disifatkan tidak wajar dilihat sebagai dua sistem yang bersaing kerana kedua-duanya mempunyai matlamat sama dalam membangunkan tenaga mahir Malaysia.

Forum itu menghimpunkan Pengasas FEMAC, Nordin Abdul Malek; Presiden pertama FEMAC dan bekas Ahli Lembaga Pengarah PTPK, Dato’ Dr. Haji Muhamad Nasir Hamzah; Presiden kedua FEMAC dan bekas Ahli Lembaga Pengarah PTPK, Ts. P. Sailanathan; serta bekas Ketua Eksekutif pertama dan pengasas PTPK, Lam Lai Meng, manakala sesi dikendalikan pengacara Astro Awani, Nazri Kahar.

Pengalaman golongan perintis tersebut diharap dapat menjadi input dalam membentuk pendekatan pembangunan tenaga mahir yang lebih mampan, selain memperkukuh kerjasama antara kerajaan, industri dan institusi TVET swasta.

Kumpulan berkenaan menegaskan bahawa melihat kembali sejarah perjuangan PLKS bukan bertujuan untuk kembali ke masa lalu, sebaliknya memastikan kejayaan dapat diteruskan, kelemahan diperbaiki dan kesilapan sama tidak berulang dalam pembangunan TVET negara – The Capital Post