Polis buru 5 individu kes curi cip kasino

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUANTAN: Polis sedang mengesan lima lelaki bagi membantu siasatan kes kecurian cip bernilai lebih RM4.6 juta di sebuah bilik kasino di Genting Highlands, Bentong pada 28 Oktober lalu.

-Advertisement-

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman, mereka yang juga rakyat tempatan berumur antara 39 dan 51 tahun.

Katanya, siasatan awal mendapati lima lelaki, termasuk dalang utama berusia 44 tahun terbabit dipercayai masih berada di negara ini dan usaha mengesan masih dijalankan.

“Berdasarkan laporan daripada pengurusan keselamatan kasino terbabit, sebanyak 1,160 keping cip kasino yang dianggarkan bernilai RM4.6 juta hilang disyaki dicuri selepas bilik kasino khas dipecah masuk.

“Siasatan mendapati kejadian disedari pada jam 10 pagi 28 Oktober lalu, selepas semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dilakukan pengurusan kasino terbabit.

“Berdasarkan rakaman itu mendapati dua lelaki memasuki ke dalam bangunan yang menempatkan beberapa bilik kasino khas melalui laluan kecemasan pada jam 7 pagi pada hari kejadian.

-Advertisement-

“Bertindak atas maklumat dan beberapa siri serbuan serta tangkapan dari 29 Oktober hingga 1 November lalu, seramai 10 lelaki, termasuk seorang lelaki warga China berusia antara 30 dan 59 tahun ditahan di sekitar Genting Highlands, Raub, Ampang dan Nilai.

“Setakat ini, sebanyak 428 keping cip bernilai RM2.99 juta dan wang tunai RM16,438 dirampas, manakala baki 732 keping cip masih dikesan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang di sini, hari ini.

Dalam kes terbabit, Yahaya berkata, usaha mengesan lima lelaki yang masih bebas itu sedang dipergiatkan ketika ini.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan jika disabitkan kesalahan, suspek boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 14 tahun.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes ini boleh berhubung dengan pegawai penyiasat di talian 09-2222222 atau balai polis berhampiran,” katanya.
-BeritaHarian