Polis giat kesan lelaki bantu siasatan kes pukul tepi jalan

Estimate Reading Time: < 1 minute

KLANG: Polis sedang mengesan seorang lelaki bagi membantu siasatan kes pukul tepi jalan di persimpangan lampu isyarat, Jalan Langat-Klang dekat sini, semalam.

-Advertisement-

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong, berkata lelaki itu dipercayai boleh membantu melengkapkan kertas siasatan yang dibuka mengikut Seksyen 323/427 Kanun Keseksaan atas kesalahan dengan sengaja mendatangkan kecederaan dan khianat.

Beliau berkata, terdahulu, polis menerima laporan pada jam 12.44 tengah malam tadi yang mana pengadu adalah warga tempatan berusia 21 tahun mendakwa ditahan oleh sebuah kereta yang dinaiki tiga lelaki.

Katanya, pengadu melaporkan seorang daripada lelaki berkenaan bertindak memukul dan merosakkan motosikal miliknya.

“Mengikut laporan, pada hari kejadian, jam 7.15 petang, mangsa yang menunggang motosikal membunyikan hon pada sebuah kereta kerana memandu secara berbahaya dan hampir melanggar mangsa.

“Pemandu kenderaan itu kemudian menghalang pergerakan mangsa di persimpangan lampu isyarat. Seorang daripada lelaki berkenaan kemudian menolak mangsa sehingga jatuh dari motosikal serta mencekik, menumbuk muka serta menendang perut dan kaki mangsa beberapa kali.

-Advertisement-

“Sebelum beredar, suspek turut menendang motosikal pengadu sehingga jatuh dan menyebabkan kerosakan pada ‘cover set’. Susulan kejadian itu, mangsa mengalami kecederaan sakit serta bengkak pada bibir, tulang rusuk dan kaki,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, usaha mengesan suspek giat dijalankan dan yakin tangkapan akan dilakukan dalam masa terdekat.

Katanya, sebarang maklumat berhubung kejadian boleh dilaporkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan di talian 03-33762222 bagi membantu siasatan.

– BeritaHarian