Polis kesan pertaruhan keputusan PRN Pulau Pinang

Estimate Reading Time: < 1 minute

GEORGETOWN: Polis mengesan kegiatan perjudian membabitkan pertaruhan keputusan beberapa kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Pulau Pinang 12 Ogos ini.

-Advertisement-

Ketua Polis negeri, Datuk Khaw Kok Chin, berkata setakat ini tiada sebarang penahanan, namun pihaknya sedang memantau rapi kegiatan terbabit.

Beliau mengakui kewujudan aktiviti seumpama itu bagaimanapun setakat ini ia dikesan berlaku secara kecil-kecilan dan tidak membabitkan sindiket atau kumpulan tertentu.

“Secara sikit-sikit ada, setakat main sesama sendiri, maksudnya bertaruh siapa menang siapa kalah, berapa kerusi akan menang dan berapa kerusi kalah.

“Tetapi untuk menyatakan ada sindiket yang mempengaruhi perjalanan pilihan raya di Pulau Pinang memang tiada dan tidak ada tangkapan dibuat setakat ini. Jadi kita sedang pantau dan akan buat tangkapan sekiranya berlaku (kegiatan perjudian),” katanya selepas meninjau proses pengundian awal di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang, di sini hari ini.

Dalam pada itu, Kok Chin memaklumkan bermula pada hari penamaan calon sehingga malam tadi tiada sebarang insiden yang boleh mendatangkan kegusaran awam dilaporkan berlaku di negeri ini.

-Advertisement-

Tambahnya, dua kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dijangka menjadi kawasan panas sebelum ini iaitu Permatang Pasir di Permatang Pauh dan Bayan Lepas turut berada dalam keadaan terkawal dengan proses kempen berjalan lancar.

“Jadi tiada keperluan untuk kita tambah anggota di kawasan tersebut dan kita kekalkan seperti sedia ada dengan kawasan itu masih di bawah kawalan tanpa sebarang insiden tidak diingini berlaku,” katanya.

Kok Chin turut memaklumkan, kebanyakan kes membabitkan PRN yang dilaporkan ketika ini lebih cenderung kepada perbuatan berunsur khianat seperti merosakkan bendera dan kain rentang parti.

“Perkara-perkara yang menggugat pilihan raya memang tidak berlaku setakat (kes) seperti koyak poster, khianat kain rentang ada berlaku tetapi tidak serius,” katanya.

– Berita Harian


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373