Polis selamatkan mangsa pemerdagangan seks di Comic-Con

Estimate Reading Time: < 1 minute

LOS ANGELES: Pegawai polis yang menyamar sebagai pelanggan seks pada acara Comic-Con minggu lalu di California menyelamatkan mangsa pemerdagangan manusia, termasuk seorang gadis berusia 16 tahun.

Mereka turut membuat beberapa tangkapan di Comic-Con San Diego iaitu salah satu acara budaya pop terbesar di dunia, kata pendakwa hari Rabu.

Pasukan petugas membabitkan polis tempatan San Diego, pegawai Persekutuan dan perisikan tentera laut menahan 14 orang yang cuba melanggan seks di perhimpunan budaya pop gergasi itu.

Sekurang-kurangnya 10 mangsa diselamatkan, sembilan daripadanya dewasa, kata Peguam Negara California, Rob Bonta.

“Malangnya, pengedar seks memanfaatkan acara berskala besar seperti Comic-Con untuk mengeksploitasi mangsa mereka bagi keuntungan,” kata Bonta, dalam satu kenyataan.

Kira-kira 135,000 orang dijangka menghadiri konvensyen komik itu yang berlangsung dari Khamis hingga Ahad.

“Jelas sekali kami mendapati ini sangat mengganggu dan, walaupun kami tidak dimaklumkan mengenai operasi ini, adalah pemahaman kami bahawa penahanan dibuat di luar acara itu.

“Kami bekerjasama rapat dengan pelbagai entiti penguatkuasaan undang-undang sepanjang tahun dan bersedia untuk membantu dalam apa jua cara yang kami boleh,” kata jurucakap Comic-Con dalam satu kenyataan kepada AFP.

Bermula sebagai acara yang membuka peluang untuk bertemu peminat buku komik, Comic-Con kini berkembang dengan pesat dan hari ini digunakan oleh studio gergasi Hollywood dan bintang terkenal untuk melancarkan filem dan rancangan televisyen terbaru mereka.

Christopher Davis, pemangku ejen khas yang bertanggungjawab bagi Penyiasatan Keselamatan Dalam Negeri di San Diego, berkata ‘acara yang ramai hadirin’ seperti Comic-Con sering dilihat oleh penjenayah sebagai ‘peluang untuk pemangsa kanak-kanak di bawah umur’.

“Kami bekerja bersama pasukan mengenal pasti dan menangkap lebih daripada sedozen individu yang mengambil bahagian dalam perbuatan haram ini di bandar kami pada hujung minggu,” kata Ketua Polis San Diego, Scott Wahl.

Anggota penguatkuasa undang-undang meletakkan iklan menyamar yang meminta seks untuk menangkap pembeli seks.

-AFP

-BeritaHarian


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5464