KUALA LUMPUR: Payments Network Malaysia Sdn Bhd (PayNet) hari ini mengumumkan bahawa Praveen Rajan dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), berkuat kuasa 1 Februari 2026.
Pelantikan Praveen adalah susulan kepada peralihan kepimpinan berstruktur yang dibentuk untuk memastikan kesinambungan mandat PayNet sebagai infrastruktur pembayaran nasional Malaysia.
Peralihan ini telah diumumkan pada September 2025, dan Praveen menyertai PayNet sebagai Bakal CEO pada 1 Disember 2025.
Sepanjang dua bulan lalu, beliau telah bekerjasama rapat dengan CEO terdahulu serta pasukan kepimpinan bagi memastikan penyerahan tugas yang lancar dan teratur.
Beliau membawa pengalaman luas dalam menerajui organisasi berskala besar, kritikal kepada misi dan tertakluk kepada peraturan, dengan rekod prestasi kukuh dalam transformasi digital, ketahanan operasi serta penglibatan pihak berkepentingan.
Keutamaan strategik PayNet kekal tidak berubah, dengan tumpuan berterusan kepada kebolehpercayaan, keselamatan, keterangkuman kewangan, pencegahan penipuan, serta pemajuan ekosistem pembayaran digital negara.
Pengerusi PayNet, Datuk Izzaddin Idris, berkata Lembaga Pengarah mengalu-alukan pelantikan Praveen sebagai CEO, susulan peralihan kepimpinan yang diumumkan tahun lalu.
-Advertisement-
“Pengumuman awal dan tempoh sebagai Bakal CEO telah membolehkan penyerahan tugas yang lancar, sekali gus membolehkan PayNet bergerak ke hadapan dengan kestabilan dan kesinambungan dalam melaksanakan mandat kami,” katanya.
Mengulas mengenai pelantikannya, Praveen berkata PayNet memainkan peranan kritikal dalam kehidupan seharian rakyat Malaysia dan dalam sistem kewangan negara.
“Sepanjang dua bulan lalu, saya telah bekerjasama rapat dengan pasukan yang kukuh dan komited, dan saya melangkah ke peranan ini dengan penuh penghormatan terhadap usaha yang sedang dijalankan.
“Tumpuan saya adalah untuk membina kekuatan sedia ada ini dengan pelaksanaan yang berdisiplin dan jelas, memperkukuh ketahanan serta kestabilan operasi, dan meningkatkan penglibatan dengan peserta industri serta rakan kongsi merentasi sektor berkaitan bagi menyokong ekonomi digital negara,” katanya.
Praveen menggantikan Farhan Ahmad, yang menamatkan tempoh perkhidmatannya pada 31 Januari 2026 selepas menerajui PayNet melalui tempoh pertumbuhan yang ketara dan memperkukuh peranannya sebagai infrastruktur pembayaran bersama Malaysia.
-Beritaharian