PRN: Hadi jangan bermimpi nak rampas Putrajaya – Zahid Hamidi

Estimate Reading Time: < 1 minute

TANAH MERAH: Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengingatkan Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang supaya tidak bermimpi untuk merampas Putrajaya.

-Advertisement-

Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu berkata, sekiranya Perikatan Nasional (PN) menang di enam negeri pada Pilihan Raya Negeri (PRN) pada Sabtu ini, ia tiada kaitan langsung dengan kedudukan Putrajaya.

“Ini (Hadi) mimpi siang ke malam, dia mendakwa mahu mengambil Putrajaya macam mana kerana kita mempunyai 148 kerusi.

“Jika mereka menang sekali pun di enam negeri, mereka tidak mempunyai hak untuk mengambil alih Putrajaya. Ini PRN untuk membentuk kerajaan negeri dan tiada kaitan langsung dengan kedudukan Putrajaya.

“Jika perkara ini yang asas pun beliau tidak boleh faham, saya fikir kelayakan beliau kurang untuk memimpin parti,” katanya selepas merasmikan Hari Potensi KEMAS dan Program Desa Cerdas, di sini, hari ini.

Malam tadi, ketika berucap pada Majlis Munajat Akbar dan Jelajah PN Best di Sendayan, Negeri Sembilan malam tadi, Abdul Hadi mendakwa kemenangan PN dalam enam PRN pada 12 Ogos ini akan membolehkan berlakunya perubahan dalam kerajaan Persekutuan.

“Kalau menang (enam negeri) ini, akan berlaku perubahan kerajaan Pusat, itu maknanya. Maka kewajipan mengundi sangat besar,” katanya.

-Advertisement-

Sehubungan itu, untuk memastikan perubahan kerajaan Pusat berlaku, Ahli Parlimen Marang berkata, penting untuk rakyat mencerminkan sokongan dengan memberi kemenangan kepada calon PN yang bertanding pada 12 Ogos ini serta orang Melayu mesti tunaikan hak mereka dengan keluar mengundi.

Ditemui pada majlis sama, Pengerusi PN Negeri Sembilan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu ketika diminta mengulas kenyataan Abdul Hadi, menjelaskan pelbagai cara boleh dilakukan.

“Di negara kita, walaupun ada Akta Anti Lompat Parti, ada proses undang-undang yang boleh dijalankan untuk menukar sesebuah kerajaan.

“Begitu juga kerajaan negeri lain, ada proses perundangan mengikut Perlembagaan yang boleh dibuat,” katanya.

– Berita Harian


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373