JOHOR BAHRU, 11 Julai 2026 (The Capital Post) – Peratusan keluar mengundi bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor Ke-16 terus menunjukkan peningkatan apabila mencecah 67.44 peratus setakat jam 5 petang ini, melibatkan seramai 1,809,185 pengundi daripada keseluruhan 2,682,642 pengundi berdaftar.
Angka itu melepasi kadar keluar mengundi keseluruhan yang direkodkan pada PRN Johor 2022, iaitu 54.92 peratus, sekali gus mencerminkan penyertaan pengundi yang lebih tinggi pada pilihan raya kali ini.
Bagi tempoh yang sama pada PRN Johor Ke-15, peratus keluar mengundi direkodkan sebanyak 49.63 peratus, membabitkan 1,277,931 pengundi daripada lebih 2.5 juta pengundi berdaftar.
Dari segi prestasi mengikut kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN), DUN Sri Medan merekodkan peratus keluar mengundi tertinggi setakat jam 5 petang dengan 77.2 peratus, diikuti Semarang (76.8 peratus) dan Sedili (74.3 peratus).
-Advertisement-
Sementara itu, DUN Bekok mencatatkan peratus keluar mengundi terendah iaitu 58.9 peratus, diikuti Stulang (60.5 peratus) dan Perling (60.6 peratus).
Trend peningkatan kadar keluar mengundi itu dijangka memberi petunjuk kepada tahap penyertaan rakyat yang lebih memberangsangkan dalam menentukan barisan pentadbiran negeri bagi penggal akan datang. – The Capital Post.