MELAKA 6 NOVEMBER 2026 (The Capital Post) – Calon Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Paya Rumput, Datuk Azman Abidin mencadangkan penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) bagi menyelaraskan operasi lampu isyarat berdasarkan kepadatan trafik di kawasan berkenaan.
Beliau berkata, sistem berasaskan AI berupaya mengesan jumlah kenderaan serta menganalisis aliran trafik di persimpangan, berbeza dengan sistem sedia ada yang bergantung kepada penderia atau sensor untuk mengesan kenderaan.
Menurutnya, teknologi seumpama itu sudah digunakan di beberapa negara maju dan pendekatan sama boleh dipertimbangkan bagi membantu mengurangkan kesesakan di Paya Rumput.
Azman berkata, penggunaan teknologi tersebut juga berpotensi menjadi pilihan yang lebih menjimatkan berbanding pembinaan jejambat atau kerja pelebaran jalan yang memerlukan kos tinggi serta tempoh pelaksanaan lebih panjang.
Beliau turut berkongsi pengalaman berdepan kesesakan apabila perlu melalui 13 lampu isyarat dalam perjalanan dari Alor Gajah ke Paya Rumput.
-Advertisement-
Katanya, masalah trafik berkenaan sering dibangkitkan penduduk setempat berikutan pembangunan kawasan perumahan yang pesat, sedangkan pengguna masih bergantung kepada rangkaian jalan utama yang sama.
Beliau berpandangan perancangan bandar perlu diberikan perhatian supaya infrastruktur jalan raya dapat menampung pertambahan jumlah kenderaan seiring dengan pembangunan kawasan tersebut.
Azman, yang pertama kali bertanding dalam PRN Melaka kali ini, berdepan saingan tiga penjuru di DUN Paya Rumput menentang Rafie Ahmad daripada Perikatan Nasional (PN) dan Abdul Rashid Abu Bakar daripada Parti Bersama Malaysia (Bersama).
Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 14 November sebagai hari pengundian PRN Melaka Ke-16, manakala pengundian awal dijadual berlangsung pada 10 November. – The Capital Post