Remaja 19 Tahun Ditemukan Maut Selepas Motosikal Terjunam ke Sungai Sekakap

Estimate Reading Time: < 1 minute

MERSING 6 NOVEMBER 2026 (The Capital Post) – Seorang remaja lelaki berusia 19 tahun ditemukan meninggal dunia selepas motosikal yang ditungganginya dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas dan terjatuh ke dalam Sungai Sekakap, malam tadi.

Komander Operasi Kanan, Penolong Kanan Penguasa Bomba Mohd Alias Hussin berkata, pihak bomba menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 11.26 malam.

Menurut beliau, mangsa berjaya ditemukan oleh Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) pada jam 7.55 pagi tadi, kira-kira 100 meter dari lokasi terakhir mangsa dilihat.

Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut sebelum dibawa ke Hospital Mersing.

Mohd Alias berkata, operasi mencari dan menyelamat itu melibatkan 15 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Mersing serta BBP Skudai.

-Advertisement-

Pasukan Keluaran Operasi (PKO) tiba di lokasi kejadian pada jam 11.36 malam dan memulakan pencarian di sepanjang tebing sungai sebelum bantuan anggota PPDA dari BBP Skudai diminta.

Pasukan penyelamat air tiba pada jam 2.41 pagi dan menjalankan operasi pencarian di permukaan sungai sekitar kawasan mangsa dipercayai terjatuh.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Mersing, Superintenden Abdul Razak Abdullah Sani mengesahkan pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian berkenaan pada jam 11.15 malam tadi.

Operasi mencari dan menyelamat itu berakhir selepas mangsa ditemukan sebelum mayat diserahkan kepada pihak polis untuk urusan selanjutnya – The Capital Post.