Program Santun Kasih Perkukuh Kesedaran Tangani Keganasan Rumah Tangga

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA LUMPUR 20 Ogos 2026 (The Capital Post) – Program Santun Kasih Pemandiri Keganasan Rumah Tangga (SARI@KRT) yang membawa tema “Road to Eliminate Violence Against Women (EVAW) 2026” berlangsung hari ini sebagai satu daripada inisiatif memperkukuh kesedaran serta usaha menangani isu keganasan terhadap wanita.

Program yang dianjurkan buat pertama kali oleh Jabatan Pembangunan Wanita (JPW), Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) itu akan disempurnakan oleh YB Dato’ Sri Hajah Nancy Shukri, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

Penganjuran SARI@KRT mencerminkan komitmen berterusan kerajaan dalam memperkasa wanita, meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai keganasan rumah tangga serta menyediakan sokongan yang sewajarnya kepada individu yang berdepan situasi berkenaan.

Program yang diadakan di President Ballroom, M Resort & Hotel turut menampilkan pelbagai pengisian yang memberi tumpuan kepada pengalaman, hak dan kesejahteraan wanita, termasuk sesi perkongsian bertajuk “Krisis Di Balik Pintu Terkunci”.

-Advertisement-

Selain itu, slot bual bicara “Genggam Kasih, Bukan Kekerasan: Memperkasa Hak Wanita” turut diadakan bagi membuka ruang perbincangan mengenai kepentingan membina hubungan yang selamat serta bebas daripada sebarang bentuk keganasan.

Peserta juga berpeluang mendapatkan maklumat dan khidmat melalui Kaunter PRISMAnita serta mengunjungi reruai perkhidmatan agensi yang disediakan sepanjang program.

Orang ramai digalakkan mengambil peluang untuk meningkatkan pengetahuan mengenai keganasan rumah tangga, mendapatkan maklumat berkaitan saluran sokongan serta berkongsi hebahan program dengan keluarga dan rakan-rakan agar kesedaran mengenai isu ini dapat diperluaskan dalam masyarakat. – The Capital Post