Projek Air Papar Dipercepat Tahun Ini

Estimate Reading Time: 2 minutes

PAPAR 17 Jun 2026 (The Capital Post) – Kerajaan Negeri Sabah terus mempergiat usaha menangani gangguan bekalan air yang menjejaskan beberapa kawasan di Papar menerusi pelaksanaan langkah jangka pendek dan jangka panjang bagi memastikan masalah berkenaan dapat diselesaikan secara menyeluruh.

Satu mesyuarat khas yang dipengerusikan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah bersama Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) serta agensi berkaitan telah diadakan pada 15 Jun lalu bagi meneliti perkembangan semasa dan tindakan susulan terhadap isu bekalan air yang masih memberi kesan kepada penduduk di beberapa kawasan, termasuk Mukim Kinarut dan Mukim Kuala.

Sebelum ini, langkah kecemasan telah dilaksanakan bagi meningkatkan kapasiti Loji Rawatan Air (LRA) Kogopon sebanyak 10 peratus susulan gangguan besar bekalan air yang berlaku pada awal tahun. Inisiatif tersebut berjaya menambah bekalan air dan menstabilkan keadaan di beberapa kawasan untuk tempoh tertentu.

Bagaimanapun, musim kemarau berpanjangan yang berlaku antara April dan Mei telah menjejaskan sumber air mentah, sekali gus memberi kesan kepada operasi loji rawatan air. Keadaan itu menyebabkan gangguan bekalan kembali berlaku dengan kawasan Puncak Gloxinia Kondominium di Kinarut dikenal pasti sebagai antara lokasi paling terjejas.

Mesyuarat tersebut memberi tumpuan kepada penyelesaian jangka panjang menerusi dua projek utama iaitu Projek Naik Taraf Muka Sauk Kampung Kabang dan Projek Naik Taraf LRA Kogopon. Projek Muka Sauk Kampung Kabang dijangka siap sepenuhnya pada 31 Julai 2026, manakala sebahagian komponen LRA Kogopon 2 dijangka mula beroperasi antara Ogos hingga September tahun ini bagi menambah kapasiti bekalan air bersih sebelum operasi penuh dilaksanakan.

-Advertisement-

Sebagai langkah segera, JANS turut diarahkan memasang tangki imbangan tambahan di kawasan Puncak Gloxinia, manakala tangki statik tambahan ditempatkan di blok-blok yang mengalami gangguan paling kritikal bagi memastikan penghantaran bekalan air dapat diteruskan kepada penduduk yang terkesan.

Kerajaan Negeri turut menegaskan bahawa isu bekalan air di Papar dan beberapa kawasan lain di Sabah berpunca daripada kebergantungan tinggi kepada sumber air sungai sebagai bekalan air mentah. Faktor cuaca seperti kemarau, kemasukan air masin, hujan lebat, peningkatan kadar kelodak serta pencemaran sungai sering menjejaskan proses rawatan air dan operasi loji.

Sehubungan itu, pelaksanaan projek-projek infrastruktur air yang sedang berjalan dianggap sebagai langkah penting dalam memastikan bekalan air yang lebih stabil dan mampan kepada penduduk pada masa hadapan. Kerajaan Negeri juga menegaskan komitmen untuk terus memperkukuh kedudukan fiskal negeri bagi membolehkan lebih banyak projek pembangunan dan penyelesaian isu rakyat dilaksanakan secara berkesan. – The Capital Post