Proton Commerce catat rekod pengeluaran pinjaman tertinggi

Estimate Reading Time: 2 minutes

SUBANG JAYA: Proton Commerce mengeluarkan sejumlah 27,288 pinjaman kepada pembeli kereta PROTON sepanjang tahun 2023, sekali gus jumlah pengeluaran tertinggi yang direkodkan sejak penubuhannya.

-Advertisement-

Lapan daripada 12 bulan menyaksikan lebih daripada 2,000 pengeluaran, dengan pencapaian bulan Mac adalah tertinggi iaitu sebanyak 2,934 apabila angka yang dicapai adalah bagi tempahan yang dibuat dalam tempoh insentif PENJANA.

Ketua Pegawai Eksekutif Proton Commerce, Mooi Fi Phang, berkata melihat landskap perniagaan pembiayaan PROTON, pegangan pasaran tahunan telah menunjukkan trajektori menaik yang stabil, secara beransur-ansur meningkat daripada sembilan peratus pada 2018 kepada 18 peratus menjelang akhir tahun 2023.

“Ia menandakan pegangan pasaran tertinggi yang telah kami capai setakat ini dan dalam bulan Januari dan Mac 2023, kedudukan pasaran patut diberi perhatian apabila ia meletakkan kami sebagai entiti kedua terbesar dari segi pegangan pasaran dalam tempoh ini.

“Satu pencapaian terunggul untuk Proton Commerce pada tahun lalu adalah memperoleh statusnya sebagai pembiaya utama untuk Proton Saga, model terlaris dalam barisan kenderaan PROTON,” katanya dalam satu kenyataan.

Fi Phang berkata, sejak suku keempat tahun 2021, cabang pembiayaan PROTON itu secara konsisten memegang kedudukan teratas untuk model itu, dan pada tahun 2023, 61 peratus daripada jumlah pengeluaran pinjaman adalah untuk Proton Saga.

“Momentum pertumbuhan telah ditetapkan pada 2022 walaupun menghadapi cabaran pada awal tahun. Proton Commerce menunjukkan daya tahan, melakukan pemulihan untuk mencatat rekod baharu dalam pengeluaran pada 2022 dan momentum yang berterusan sehingga 2023 dengan pertumbuhan sebanyak 21 peratus,” katanya.

Beliau berkata, memandangkan 2024 menandakan ulang tahun ke-20 Proton Commerce, syarikat telah menyediakan pelan strategik untuk meningkatkan perniagaannya ke tahap yang lebih tinggi dengan memanfaatkan populariti yang berterusan bagi rangkaian model PROTON yang sedia ada serta jangkaan permintaan meningkat untuk Proton S70 baharu.

-Advertisement-

Katanya, Proton Commerce berhasrat untuk naik ke kedudukan pembiaya PROTON terulung di samping menjamin kadar faedah yang ditawarkan pada masa kelulusan.

“Kami juga akan menawarkan pakej kewangan yang kompetitif untuk model terbaharu PROTON seperti X90 dan S70 sambil menghubungi pelanggan kereta elektrik (EV) yang berminat untuk membeli smart #1.

“Dengan pembiayaan kadar tetap kami, pelanggan boleh yakin dengan pembayaran bulanan yang konsisten, memberikan kemudahan kepada mereka yang menunggu kenderaan PROTON dan memudahkan pengurusan bajet yang lebih baik,” katanya.

Tahun 2023 menandakan tahun kejayaan bagi PROTON dan entiti gabungannya apabila mencatatkan pengembangan lima tahun berturut-turut dan jualan terkumpul melonjak kepada 154,611 unit, menandakan angka jualan tertinggi syarikat sejak 2012, sekali gus mengekalkan kedudukannya sebagai jenama yang kedua tertinggi dalam industri automotif negara.

Kerjasama antara Proton Edar dan CIMB, Proton Commerce menyediakan penyelesaian pembiayaan untuk pembeli kenderaan PROTON dan prestasi syarikat mencerminkan trajektori menaik jualan PROTON sejak lima

tahun lalu.

– BeritaHarian


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373