PRU-15 uji kematangan anak muda guna hak mengundi

Estimate Reading Time: < 1 minute

SUNGAI BULOH, 15 OKTOBER 2022 (The Capital Post): Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) yang bakal berlangsung tidak lama lagi memberi senario yang sangat menarik untuk dianalisis. Satu daripadanya adalah pertambahan seramai 7.8 juta pengundi baharu.

-Advertisement-

Daripada jumlah itu 3.8 juta mewakili orang muda berusia 18 tahun yang berdaftar sebagai pemilih secara automatik.

Pertambahan jumlah pemilih ini menjadikan kumpulan pengundi baharu ini mewakili 34 peratus daripada keseluruhan angka mereka yang layak mengundi. Dalam kata lainnya, tiga dari 10 pengundi kali ini adalah orang baharu.

Kehadiran mereka ini mampu mengubah senario politik semasa jika semua pemilih ini menunaikan tanggungjawab mereka ketika pilihan raya yang akan datang.

Kita maklum mengenai ramalan cuaca yang menyebut mengenai kedatangan musim tengkujuh akhir tahun ini. Namun, ia tidak menghalang keputusan pembubaran Parlimen. Tidak pasti apakah strateginya, namun walau apa pun rintangan, pengundi muda tidak seharusnya memandang ringan tanggungjawab mereka.

Inilah masanya untuk memilih dan menentukan hala tuju kepemimpinan negara. Lebih-lebih lagi pada saat negara dilanda pelbagai isu membabitkan rasuah.

Jadi inilah peluang terbaik untuk anak muda terbabit aktif dalam membuat keputusan berkenaan masa depan negara. Saya tertarik pesanan ulama tersohor, Syeikh Yusuf Abdullah al-Qaradawi; “Apabila kita hendak melihat wajah negara pada masa hadapan, lihatlah generasi muda pada hari ini.”

-Advertisement-

Justeru, saya berpandangan anak muda perlu tampil menunaikan tanggungjawab bagi memastikan kepimpinan negara dipegang oleh pemimpin yang telus dan berwibawa.

Manfaat peluang sebaik mungkin

Generasi muda juga perlu melengkapi diri dengan ilmu mengenai pemilihan dan sistem demokrasi. Peluang yang ada manfaatkan dengan sebaik mungkin. Apa yang diharapkan generasi muda kini dapat menggunakan hak mereka dengan bijak, matang dan berkesan.

Hal ini kerana tanggungjawab mengundi bukan hanya cerita hari ini, tetapi akan mempengaruhi masa depan negara dan generasi yang akan datang dalam jangka masa panjang.

-BH

(The Capital Post)