Pulau Perhentian kini dibuka semula

Estimate Reading Time: < 1 minute

BESUT: Pulau Perhentian kini dibuka semula kepada pelancong selepas ditutup sementara berikutan penularan COVID-19, akhir Ogos lalu.

-Advertisement-

Pengerusi Jawatankuasa Bencana daerah Besut, Ahmad Farhan Abdul Wahab, berkata pulau peranginan itu mula dibuka kepada pelancong berkuat kuasa Isnin lalu.

Katanya, gelembung pelancongan Pulau Perhentian itu selaras keputusan kerajaan melonggarkan prosedur operasi standard (SOP) kepada individu yang sudah melengkapkan vaksin COVID-19.

-Advertisement-

“Penggiat industri pelancong di Pulau Perhentian, terutama pengusaha chalet dan pemandu bot sudah bersedia menerima kedatangan pelancong apabila lebih 1,508 atau 90 peratus sudah lengkap divaksin.

“Kebersihan dapur dan penyediaan makanan kepada tetamu juga diberi keutamaan oleh pengusaha chalet untuk menjamin keselamatan makanan,” katanya kepada media pada program pemeriksaan premis makanan mengikut Norma Baharu, di sini, hari ini.

Hadir sama, Pegawai Kesihatan Daerah Besut, Dr Hafizuddin Awang.

Akhir Ogos lalu, kerajaan terpaksa menutup sementara aktiviti pelancongan di Pulau Perhentian selepas berlaku 75 kes penularan kes COVID-19.

Ahmad Farhan yang juga Pegawai Daerah Besut berkata, Jawatankuasa Bencana Daerah bersetuju membenarkan operasi di Jeti Kuala Besut dibuka sepenuhnya Isnin lalu selepas semua penggiat industri pelancongan lengkap dua dos suntikan.

Katanya, pembukaan pulau peranginan itu juga dilakukan selepas semua penggiat industri pelancongan di pulau berkenaan mematuhi SOP Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa Tiga.

“Hasil pemeriksaan di 25 chalet di pulau peranginan itu, kita dapati tahap kebersihan dan penyediaan makanan melebihi 75 peratus,” katanya.

Mengenai kaedah bagi merancakkan kedatangan pelancong ke pulau berkenaan, Ahmad Farhan berkata, beberapa pengusaha chalet menawarkan potongan harga antara 10 dan 20 peratus. -BH