Rakyat AS mungkin jadi tebusan Hamas – Biden

Estimate Reading Time: 2 minutes

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden semalam mengatakan 11 rakyatnya terbunuh selain ada yang mungkin menjadi tebusan oleh pejuang Hamas selepas serangan mengejut ke atas Israel.

-Advertisement-

Peningkatan konflik itu dibimbangi berubah menjadi isu besar serantau dengan Rumah Putih mendakwa mereka tiada niat mencampuri urusan di lapangan tetapi memberi amaran kepada Iran dan sekutu lain untuk tidak masuk campur.

Biden dan pemimpin Perancis, Jerman, Itali dan Britain mengikrarkan sokongan mereka kepada Israel untuk mempertahankan diri apabila jumlah kematian di sana meningkat kepada 800 orang, manakala di Gaza, 687 orang menjadi korban.

Tentera Israel mendakwa seramai 150 orang dijadikan tebusan dalam serangan Sabtu dari selatan Gaza dan Hamas mengancam membunuh jika serangan balas udara Israel terus ‘menyasarkan’ penduduk Gaza tanpa amaran.

Biden berkata, Washington sudah memindahkan kapal pengangkut pesawat terbesarnya dan kapal perang lain lebih dekat dengan Israel sebagai tanda sokongan, sedang bekerjasama dengan sekutu utamanya dalam ‘usaha pemulihan tebusan’.

“Malangnya, kita mendapat maklumat sekurang-kurangnya 11 warga Amerika antara yang terbunuh yang kebanyakannya menjadikan Israel rumah kedua,” katanya dalam satu kenyataan selepas bertemu pasukan keselamatan negaranya di Rumah Putih.

Beliau berkata pihaknya sedang berusaha mengesahkan bilangan korban itu tetapi percaya warga Amerika mungkin antara yang ditahan Hamas.

Semalam, Rumah Putih menyalakan lampu berwarna biru dan putih bendera Israel sebagai tanda sokongan kukuh AS.

Menurut Rumah Putih, Biden dijangka menyampaikan kenyataan lanjut mengenai serangan di Israe hari ini.

-Advertisement-

Sementara itu, seorang pegawai kanan pertahanan AS semalam berkata, tebusan adalah subjek pembabitan sengit dengan Israel.

“Terdapat komunikasi berterusan seluruh kerajaan AS dengan semua rakan sejawat Israel mengenai situasi tebusan yang ditahan Hamas di Gaza,” kata pegawai itu kepada wartawan.

Pegawai AS itu juga menyamakan serangan oleh Hamas dengan kekejaman DAESH.

Rumah Putih berkata, ketika pihaknya menghantar bantuan ketenteraan baharu kepada Israel untuk menghalang ‘musuhnya’, tidak timbul persoalan AS terbabit dalam konflik itu.

“Tiada niat AS masuk campur,” kata jurucakap Majlis Keselamatan Negara John Kirby kepada wartawan.

Kirby berkata, tiada ‘bukti kukuh atau nyata’ yang mengaitkan Iran dengan serangan Hamas, walaupun terdapat ‘tahap keterlibatan’ disebabkan sokongan Tehran terhadap kumpulan itu.

Bagaimanapun Iran menafikan sebarang pembabitannya. Biden, Presiden Perancis Emmanuel Macron, Canselor Jerman Olaf Scholz, Perdana Menteri Itali Giorgia Meloni dan Perdana Menteri Britain, Rishi Sunak mengeluarkan kenyataan bersama menyatakan sokongan terhadap Israel dalam usaha mempertahankan diri, kata Rumah Putih.

Presiden Perancis juga memberi amaran kepada Iran supaya tidak ‘menyebarkan konflik melangkaui Gaza’.
– AFP
-BeritaHarian


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373