Rakyat Indonesia mula mengundi hari ini, Prabowo kekal dahului saingan

Estimate Reading Time: 2 minutes

INDONESIA: Rakyat Indonesia mula mengundi untuk Presiden baharu hari ini dengan bekas Menteri Pertahanan, Prabowo Subianto kekal mendahului saingan.

-Advertisement-

Tinjauan undian Prabowo, 72, yang juga ketua tentera ketika pemerintahan presiden Suharto, berada di landasan untuk mendapatkan majoriti bagi mengelakkan pusingan kedua.

“Kami akan berjuang untuk membawa kemakmuran kepada rakyat Indonesia dan meneruskan apa yang sudah dibina oleh presiden terdahulu,” katanya yang berikrar meneruskan dasar Jokowi.

Prabowo memerlukan lebih 50 peratus undi dan sekurang-kurangnya 20 peratus undi di lebih separuh wilayah negara itu untuk jawatan presiden.

Hampir 205 juta orang layak mengundi Prabowo atau pesaingnya, Anies Baswedan dan Ganjar Pranowo, hanya dalam Pilihan Raya Presiden kelima sejak berakhirnya pemerintahan diktator Suharto pada 1998.

Sementara itu, kumpulan hak asasi manusia melahirkan kebimbangan bahawa Prabowo boleh menarik-balik kebebasan demokrasi yang dimenangi sekiranya menang, memandangkan pemimpin itu pernah didakwa mengarahkan penculikan aktivis demokrasi pada akhir pemerintahan Suharto.

Satu lagi faktor penting dalam popularitinya ialah calon pasangan Naib Presiden iaitu anak sulung Jokowi, Gibran Rakabuming Raka, 36.

-Advertisement-

Bagaimanapun, timbul tuduhan Jokowi menggunakan dana kerajaan secara tidak wajar untuk menyokong Prabowo dan pertukaran peraturan calon bawah usia 40 tahun boleh bertanding oleh Ketua Hakim Negara yang juga abang ipar kepada Jokowi.

Sementara itu, Anies, bekas kakitangan Jokowi dan Gabenor Jakarta disifatkan akan menjadi pencabar Prabowo sekiranya berlaku undian pusingan kedua.

Hari ini diisytiharkan sebagai cuti kebangsaan dengan lebih 800,000 pusat mengundi akan beroperasi merentasi tiga zon waktu.

Di wilayah bergolak, pegawai bandar Timika memeriksa pusat mengundi sementara yang dibina daripada kayu balak dan daun palma ketika pengundi mula tiba.

Pusat mengundi, setiap satu dibuka selama enam jam akan dikendalikan oleh lebih 5.7 juta petugas pilihan raya dan lebih 20,000 kerusi disediakan untuk direbut dari peringkat daerah ke kerusi Parlimen negara dan jawatan Presiden.

Keputusan rasmi tidak dijangka sehingga Mac, tetapi apa yang dipanggil ‘kiraan pantas’ dijangka memberikan petunjuk yang boleh dipercayai siapa pemenangnya.
-AFP
-BeritaHarian