JOHOR BAHRU: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Johor menahan seorang pegawai Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan seorang pemilik syarikat, bagi membantu siasatan kes sindiket kartel kerja-kerja perolehan membabitkan sebuah Kem TLDM di negeri ini.
Menurut sumber, kedua-dua lelaki berusia 42 dan 55 tahun itu ditahan di Pejabat SPRM Johor, kira-kira jam 4 petang semalam.
SPRM sebelum ini telah menahan tiga individu atas kesalahan tuntutan palsu dan menjadi dalang ‘kartel perolehan’ kepada 13 syarikat pembekal, yang menguruskan kerja-kerja pembinaan di sebuah Kem TLDM, membabitkan jumlah nilai perolehan keseluruhan melebihi RM9 juta.
Sumber turut memaklumkan bahawa pembayaran penuh telah dibuat, namun pembinaan masih belum siap dengan sempurna.
-Advertisement-
Sementara itu, Pengarah SPRM Johor Datuk Azmi Alias ketika dihubungi mengesahkan penahanan terbabit dan kes disiasat di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009.
“Kedua-dua suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Johor Bahru pada jam 8.30 pagi esok bagi mendapatkan permohonan reman,” kata Azmi.
-BERNAMA
-BeritaHarian