Rekod agihan tugasan guru elak pilih kasih

Estimate Reading Time: 2 minutes

Peranan guru semakin berkembang dengan kini tidak hanya melaksanakan pengajaran dan pembelajaran (PdP), mentaksir perkembangan murid dan mengurus bilik darjah, mereka juga terpaksa melaksanakan tugas pentadbiran seperti menyiapkan kertas kerja, memasukkan data serta menyediakan laporan.

-Advertisement-

Malah, ramai memegang jawatan penting seperti menjadi guru kelas dan panitia, setiausaha peperiksaan serta kursus, penasihat badan beruniform, kelab dan persatuan. Beban melampau ini boleh menjejaskan tumpuan utama terhadap PdP.

Bagi menyelesaikan isu ini, Kementerian Pendidikan (KPM) meminta semua guru besar dan pengetua menilai semula agihan tugas supaya tidak membebankan serta mengganggu tugas hakiki guru.

Saranan daripada kajian dilakukan KPM mendapati, 25 peratus beban tugas guru boleh disusun semula supaya bersesuaian dengan realiti tanggungjawab pendidik menjadi lebih besar memandangkan sistem pendidikan kini menekankan penilaian menyeluruh, bukan lagi berorentasikan peperiksaan.

Selain itu, KPM juga mewujudkan jawatan pembantu guru secara meluas di sekolah untuk membantu mereka menguruskan kerja di luar bilik
darjah.

Namun, masih ramai guru merungut agihan tugas dianggap tidak sama rata, lebih-lebih lagi apabila ada guru menolak tugas tanpa sebab jelas atau munasabah. Dalam hal ini, pentadbir ada kala tidak mempunyai pilihan kecuali membebankan sebahagian guru boleh diharap kerana tugas mesti diselesaikan segera. Tidak dinafikan, ada pentadbir sekolah tidak jelas dengan agihan tugas setiap guru.

Justeru, satu sistem pemantauan beban tugas guru perlu dibangunkan yang dapat merekod dan mengukur agihan tugas guru sepanjang tahun. Setiap tugas direkodkan supaya pentadbir dapat mengelakkan agihan tugas tidak adil.

-Advertisement-

Walaupun ada guru diberi banyak tugas dan berjaya menyelesaikan semuanya, ia tidak bermakna mereka patut sentiasa dibebankan terutama jika ada menerima beban kerja sedikit.

Pengukuran beban tugas guru secara objektif ini dapat membantu pentadbir sekolah membuat keputusan dalam merancang pembahagian tugas lebih adil dan tidak tertumpu kepada sebahagian guru sahaja.

Sistem ini juga boleh digunakan sebagai petunjuk tahap kompetensi guru untuk perancangan kursus dan latihan. Perancangan pembangunan infrastruktur dan prasarana juga boleh dibantu dengan sistem ini.

Tugas mungkin sukar diselesaikan apabila guru tidak mempunyai kompetensi, infrastruktur dan prasarana bersesuaian. Tambahan pula, rekod agihan tugas ini dapat mengesahkan sumbangan guru untuk dipertimbangkan dalam prosedur kenaikan pangkat.

Maklumat beban tugas daripada sistem ini secara amnya berpotensi mewujudkan suasana kerja lebih positif apabila ia diberi sama rata. Kesihatan mental guru juga dapat dipelihara apabila jadual tugas lebih teratur dan guru dapat mengurangkan kerja dibawa pulang kerja untuk disiapkan.

Malah, sistem ini dapat menghapuskan stigma negatif bahawa pentadbir sekolah pilih kasih terhadap segelintir guru. Setiap guru pula dapat merancang kerjaya masing-masing, lebih penting lagi PdP berkualiti dapat diberikan kepada murid selaras keperluan masa depan semakin mencabar.
-BeritaHarian


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373