Ringgit teruskan aliran menurun

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA LUMPUR: Ringgit meneruskan aliran menurun berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pagi ini berikutan indeks dolar AS (DXY) yang lebih kukuh selepas pengerusi Rizab Persekutuan (Fed) AS, Jerome Powell mengulangi pendiriannya untuk terus menaikkan kadar faedah dalam usaha meredakan kenaikan inflasi, kata seorang penganalisis.

-Advertisement-

Pada jam 9 pagi, nilai mata wang tempatan susut kepada 4.4020/4045 berbanding dolar AS daripada 4.3980/4010 pada penutup semalam.

Ketua Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata DXY berakhir lebih tinggi malam tadi dengan mencatatkan 105.104 mata.

Beliau berkata, semasa sesi panel Bank Pusat Eropah, Powell menyatakan ekonomi AS berada dalam keadaan kukuh dan baik untuk menahan kesan daripada dasar monetari yang lebih ketat.

“Oleh itu, ringgit sepatutnya terus kekal berlegar sekitar RM4.40 berbanding dolar AS,” katanya kepada Bernama.

Selain itu, beliau menambah sentimen dijangka kekal berhati-hati apabila kebimbangan terhadap kemelesetan semakin meningkat di AS.

-Advertisement-

“Ini disebabkan hubungan rapat Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) AS dan Malaysia. Justeru, sebarang gangguan dalam pertumbuhan AS, Malaysia akan turut merasai tempiasnya,” kata beliau.

Sementara itu, ringgit diniagakan kebanyakannya lebih tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama.

Mata wang tempatan meningkat berbanding pound Britain kepada 5.3379/3409 daripada penutupan urus niaga Rabu 5.3480/3516, ia lebih tinggi berbanding dolar Singapura kepada 3.1596/1619 daripada 3.1645/1671 dan mengukuh berbanding euro kepada 4.5966/5992 daripada 4.6227/6259 sebelumnya.

Bagaimanapun, mata wang tempatan menyusut nilai berbanding yen Jepun kepada 3.2228/2251 daripada 3.2217/2242 semalam.

-BERNAMA -BH