BINTULU, 22 September 2026 (The Capital Post) – Sebanyak RM28.10 juta diperuntukkan tahun ini bagi kerja penyenggaraan berkala turapan di Jalan Persekutuan FT803 Bintulu–Bakun, melibatkan liputan sepanjang 11 kilometer.
Menteri Kerja Raya, YB Dato’ Sri Alexander Nanta Linggi hari ini mengadakan lawatan tapak bagi meninjau status pelaksanaan serta kemajuan kerja penyenggaraan dan pembaikan turapan di laluan sepanjang 128.46 kilometer itu.
Beliau turut disertai Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya (KKR), YBhg. Dato’ Seri Azman Ibrahim dan Pengarah Kerja Raya Negeri Sarawak, YBhg. Datu Adj. Prof. Ir. Ts. Is. Gs. Br. PMr. QPr. Dr. Cassidy anak Morris.
Peruntukan RM28.10 juta bagi 2026 meningkat berbanding RM6 juta pada 2023, RM14.20 juta pada 2024 dan RM14.70 juta pada 2025.
Kerosakan turapan, antaranya akibat pergerakan kenderaan berat, ditangani menggunakan kaedah Cold In-Situ Recycling (CIPR), Top Up Road Base dan penurapan semula.
Gantry barriers turut dipasang di lokasi strategik bagi mengawal kenderaan yang melebihi had muatan dan ketinggian.
-Advertisement-
Bagi penambahbaikan jangka panjang, KKR mengemukakan cadangan pembinaan lorong memotong di enam lokasi sekitar KM16, KM39, KM49, KM75, KM106 dan KM109.
Cadangan sepanjang kira-kira 12 kilometer dengan anggaran kos RM216 juta itu dikemukakan untuk pertimbangan di bawah Rolling Plan 2, Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RP2, RMKe-13).
Jalan Bintulu–Bakun merupakan laluan penting yang memberi akses kepada lebih 30 rumah panjang dan perkampungan, selain menghubungkan Sungai Asap, Belaga, Hidroelektrik Bakun dan Hidroelektrik Murum.
Menurut hantaran di laman Facebook rasmi Kementerian Kerja Raya Malaysia, KKR dan Jabatan Kerja Raya (JKR) akan terus memberi perhatian kepada penyenggaraan serta penambahbaikan Jalan Persekutuan di Sarawak bagi memastikan rangkaian jalan kekal selamat, selesa dan berdaya tahan. – The Capital Post