PUTRAJAYA: Harga runcit petrol RON97 turun 2 sen kepada RM2.64 seliter manakala RON95 dan diesel masing-masing kekal RM2.08 dan RM2.18 seliter, mulai tengah malam ini.
Kementerian Kewangan menerusi satu kenyataan, berkata harga runcit produk petrol itu adalah bagi tempoh 7 Disember hingga 13 Disember ini.
“Berdasarkan pengiraan di bawah formula Mekanisme Penetapan Harga Automatik (APM), harga runcit produk petrol RON95 dan diesel bagi tempoh yang sama sepatutnya masing-masing adalah RM2.34 dan RM2.30 seliter.
“Ini menunjukkan penurunan dari minggu lalu bagi harga runcit produk petrol RON95 yang berada pada paras RM2.36 seliter, manakala kenaikan bagi harga runcit produk diesel yang berada pada paras RM2.29 seliter.
“Namun, harga runcit bagi kedua-dua produk adalah dikekalkan pada paras RM2.08 seliter dan RM2.18 seliter selaras dengan keputusan Kerajaan untuk menstabilkan harga runcit bagi produk petroleum dan menjaga kesejahteraan ekonomi rakyat.
“Dengan pengekalan harga runcit bagi kedua-dua produk ini, anggaran subsidi yang perlu ditanggung oleh kerajaan bagi tempoh 7 Disember hingga 13 Disember ini adalah berjumlah RM107.40 juta,” katanya. -Bharian