Rosmah lewat 3 tahun, fail semak kehakiman kes rasuah babit projek RM1.25b

Estimate Reading Time: 2 minutes

PUTRAJAYA: Datin Seri Rosmah Mansor didakwa lewat tiga tahun tiga bulan 10 hari dalam memfailkan permohonan kebenaran semakan kehakiman untuk deklarasi bahawa keseluruhan prosiding rasuah membabitkan projek hibrid solar bernilai RM1.25 bilion dihadapinya adalah tidak sah.

-Advertisement-

Rosmah, 72, memfailkan permohonan itu di Mahkamah Tinggi pada 24 Jun 2022, dengan menamakan Peguam Negara/Pendakwa Raya, Kerajaan Malaysia dan Timbalan Pendakwa Raya Kanan, mendiang Datuk Seri Gopal Sri Ram sebagai responden.

Peguam Kanan Persekutuan, mewakili semua responden, Shamsul Bolhassan, berkata isteri Datuk Seri Najib Razak itu didakwa pada 15 November 2018 dan permohonan untuk semakan kehakiman perlu dibuat dengan segera, dalam tempoh tiga bulan dari tarikh berkenaan.

“Hakim Mahkamah Tinggi sebelum ini juga tidak tersalah arah mengikut undang-undang, yang tidak membenarkan lanjutan masa dimohon oleh perayu (Rosmah).

“Atas alasan diberikan, kami berharap permohonan itu ditolak dengan kos,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berhujah di hadapan panel tiga Hakim Mahkamah Rayuan, dipengerusikan Datuk Hanipah Farikullah, yang bersidang bersama Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali dan Datuk See Mee Chun, hari ini.

Pada 30 Ogos 2022, Mahkamah Tinggi menolak permohonan Rosmah untuk memulakan semakan kehakiman bagi memohon deklarasi bahawa keseluruhan prosiding penuh kes projek solar sejak 15 November 2018 adalah tidak sah serta dibatalkan.

Susulan itu, Rosmah mendakwa perlu dibebaskan daripada semua pertuduhan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

Selain itu, isteri Najib berkenaan memohon deklarasi bahawa pelantikan Sri Ram sebagai Timbalan Pendakwa Raya Kanan melalui tiga surat pelantikan atau fiat bertarikh 8 Julai 2020, 11 Mei dan 21 Mei 2021, adalah tidak sah.

Rosmah memohon untuk menggugurkan Sri Ram, namun ditolak oleh Hakim Mahkamah Tinggi, ketika itu, Mohamed Zaini Mazlan, yang mendengar perbicaraan kes rasuah beliau.

Rayuannya berhubung perkara itu turut ditolak oleh Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan.

Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Ahmad Kamal Md Shahid, menolak permohonan Rosmah untuk memulakan semakan kehakiman dua hari sebelum Mohamad Zaini memberikan keputusan dalam kes rasuah beliau.

-Advertisement-

Pada 1 September 2022, Mohamad Zaini memutuskan bahawa Rosmah bersalah atas pertuduhan rasuah dan menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun serta denda RM970 juta.

Rosmah berdepan pertuduhan meminta RM187.5 juta dan dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM6.5 juta daripada Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn Bhd, Saidi Abang Samsudin, melalui bekas pembantunya, Datuk Rizal Mansor.

Ia sebagai upah membantu syarikat itu mendapatkan projek bernilai RM1.25 bilion bagi menyalurkan tenaga hibrid solar kepada 369 sekolah di kawasan luar bandar Sarawak.

Beliau memfailkan rayuan berhubung sabitan dan hukuman terhadapnya dan kini bebas dengan jaminan RM2 juta, sementara menunggu pendengaran kesnya.

Sementara itu, peguam bela Rosmah, Datuk Akberdin Abdul Kader, berkata Mahkamah Tinggi harus membenarkan lanjutan masa dalam pemfailan permohonan kebenaran itu dengan mengambil kira faktor keadilan terhadap Rosmah.

“Perayu sudah mengambil langkah segera untuk memfailkan permohonan kebenaran iaitu 28 hari selepas keputusan Mahkamah Persekutuan (menolak permohonan untuk batalkan pertuduhan) pada 27 Mei 2022.

“Perayu berharap Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan untuk memberi kebenaran dan menghantar semula kes berbangkit ke Mahkamah Tinggi untuk hujahan substantif,” katanya.

Hanipah kemudian menetapkan 22 Jun depan bagi keputusan sama ada Rosmah dibenarkan untuk memulakan semakan kehakiman itu di Mahkamah Tinggi.

“Kami mengucapkan terima kasih kepada semua pihak berhubung hujahan yang komprehensif.

“Selepas berbincang, kami (panel hakim) memerlukan lebih masa untuk mempertimbangkan hujahan berkenaan selain membaca rekod rayuan,” katanya.

– Berita Harian