RUU larangan lompat parti akan dipersembah kepada Agong

Estimate Reading Time: 2 minutes

PUTRAJAYA: Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) (No 3) 2022 berkaitan larangan Ahli Parlimen bertukar parti akan dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk diperkenankan dalam masa terdekat.

-Advertisement-

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Parlimen), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, berkata selepas RUU berkenaan diperkenankan mengikut Perkara 66 Perlembagaan Persekutuan, ia akan digazetkan dalam tempoh 30 hari.

“Jadi sekembalinya Al-Sultan Abdullah dari Turkiye, RUU ini akan dipersembah kepada baginda untuk diperkenan mengikut Perkara 66.

“Di bawah Perkara 66 Perlembagaan Persekutuan ini mempunyai batas sendiri, jika tidak diperkenan pun ia akan menjadi undang-undang selepas 30 hari sebabkan pindaan pada 1994 dulu.

“Bagaimanapun, ia akan dipersembahkan sekali lagi kerana Seksyen 2 penguatkuasaan RUU ini mesti mendapat perkenan baginda dua kali. Kali pertama untuk menjadikan RUU ini sebagai undang-undang dan kali kedua bagi penguatkuasaan.

“Namun tidak perlu mengadakan dua kali perjumpaan, cukup hanya sekali untuk mendapat perkenan,” katanya dalam temu bual bersama media, di kementeriannya hari ini.

Pada 28 Julai lalu, pindaan RUU Perlembagaan bagi mewujudkan peruntukan larangan Ahli Parlimen bertukar parti diluluskan dengan mendapat sokongan lebih dua pertiga ahli dewan di Dewan Rakyat.

Pada 9 Ogos lalu, RUU berkenaan turut diluluskan di Dewan Negara selepas memperoleh sokongan 52 daripada 60 senator selepas dua kali undi belah bahagian dilakukan, iaitu lebih dua pertiga persetujuan Ahli Dewan Negara.

Berikutan itu, Wan Junaidi berkata, RUU berkenaan tidak terpakai selagi ia belum digazetkan.

-Advertisement-

“Ada orang tanya, RUU ini sudah lulus di Dewan Rakyat, masih boleh lompat (parti) ke? Saya jawab, belum jadi undang-undang boleh lompatlah,” katanya.

Wan Junaidi berkata, selepas diperkenankan, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan membuat pemakluman melalui surat kepada semua Menteri Besar dan Ketua Menteri untuk mengesyorkan pindaan terhadap Jadual Kelapan Perlembagaan Persekutuan.

Katanya, tindakan itu membolehkan semua Dewan Undangan Negeri (DUN) meminda Perlembagaan negeri masing-masing dengan memasukkan peruntukan larangan bertukar parti selaras Jadual Kelapan Perlembagaan Persekutuan seperti diluluskan di Dewan Rakyat dan Dewan Negara.

“Ini untuk memastikan undang-undang yang bakal dilaksanakan di peringkat Persekutuan selaras dengan pelaksanaan di semua negeri termasuk penggunaan perkataan bagi mengelakkan sebarang konflik.

“Satu libat urus dengan negeri ini akan diadakan bagi tujuan berkenaan,” katanya.

Bagi empat negeri yang sudah mempunyai undang-undang sendiri berkaitan lompat parti seperti Pulau Pinang, Kelantan, Sabah dan Sarawak, Wan Junaidi berkata, negeri terbabit boleh melaksanakannya berdasarkan keputusan Mahkamah Persekutuan pada 3 Ogos lalu.

“Saya yakin empat negeri ini akan ambil tindakan sewajarnya dan kalau boleh ikut garis panduan Kerajaan Persekutuan lebih baik, kita senang untuk selaraskan demi kebaikan bersama,” katanya.

-BH