KUALA LUMPUR, 8 Jun 2026 (The Capital Post) – PAS mengumumkan penamatan kerjasama politiknya dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) selepas Mesyuarat Khas Jawatankuasa Kerja PAS Pusat yang diadakan pada Isnin membuat ketetapan berhubung hala tuju hubungan antara kedua-dua parti.
Dalam kenyataan media yang ditandatangani Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang, parti itu memaklumkan keputusan tersebut dibuat dengan memperakukan ketetapan Mesyuarat Majlis Syura Ulama pada 2 Jun 2026 yang meneliti pertimbangan dasar, hukum dan maslahah berkaitan kerjasama politik PAS berasaskan prinsip penyatuan ummah.

Menurut kenyataan itu, mesyuarat khas berkenaan turut meneliti kedudukan serta hala tuju kerjasama politik PAS-Bersatu berdasarkan laporan, kajian dan penilaian semasa sebelum memutuskan untuk menghentikan kerjasama politik dengan Bersatu.
Bagaimanapun, PAS menegaskan komitmennya untuk terus meneroka bentuk persefahaman politik dan kerjasama pilihan raya (electoral pact) demi agenda penyatuan ummah dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) serta Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).
-Advertisement-
Pada masa sama, parti itu menyatakan kesediaan menerima penyertaan tokoh akademik, profesional, pemimpin politik dan aktivis masyarakat yang berhasrat untuk menyertai PAS.
Perkembangan terbaharu ini dilihat berpotensi mengubah landskap politik pembangkang negara menjelang siri pilihan raya akan datang, memandangkan PAS dan Bersatu sebelum ini mempunyai sejarah kerjasama politik dalam pelbagai platform dan gabungan.
Kenyataan tersebut bertarikh 8 Jun 2026 bersamaan 22 Zulhijjah 1447H dan menegaskan kembali tema perjuangan parti, “Kembali Kepada Penyelesaian Islam”, sebagai panduan dalam menentukan haluan politiknya pada masa hadapan. – The Capital Post.