KUALA LUMPUR, 9 Jun 2026 (The Capital Post) – Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Mohd Khalid Ismail hari ini menyematkan lencana pangkat Komisioner Polis (CP) kepada Datuk Dennis Lim Kwang Keng dalam satu majlis ringkas yang berlangsung di Pejabat KPN, Tingkat 31, Ibu Pejabat Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bukit Aman.
Menurut perkongsian di Facebook Polis Diraja Malaysia, Dennis Lim yang sebelum ini memegang jawatan Timbalan Pengarah (Forensik/Perancangan Strategik) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman telah dinaikkan pangkat bagi menerajui Polis Kontinjen Pulau Pinang susulan arahan pertukaran yang diumumkan baru-baru ini.
Beliau bakal menggantikan CP Datuk Ts. Azizee Ismail sebagai Ketua Polis Pulau Pinang yang baharu selepas penyandang jawatan itu menamatkan perkhidmatan wajib pada 20 Jun ini.
Majlis penyematan pangkat tersebut mencerminkan keyakinan kepimpinan tertinggi PDRM terhadap pengalaman dan keupayaan Dennis Lim dalam meneruskan agenda pengukuhan keselamatan serta penyampaian perkhidmatan kepolisan di Pulau Pinang.
-Advertisement-
Turut hadir Pengarah Pengurusan PDRM, CP Datuk Seri Abdul Aziz Abdul Majid, Setiausaha Polis Malaysia, DCP Datuk Mohamad Noor Yusof Ali serta Timbalan Pengarah (Risikan/Operasi) JSJ Bukit Aman, DCP Datuk Mohd Sukri Kaman.
Pelantikan tersebut dilihat sebagai sebahagian daripada usaha berterusan PDRM dalam memperkukuh kepimpinan organisasi dan memastikan kesinambungan pengurusan keselamatan negara yang cekap serta berkesan. – The Capital Post.