Sahabat Ulu Muda saran P.Pinang, Kedah kerjasama tangani isu air

Estimate Reading Time: 2 minutes

GEORGE TOWN, 5 April  — Sahabat Ulu Muda (FoUM) memberi saranan kepada kerajaan negeri Pulau Pinang dan Kedah untuk sama-sama menyelesaikan kemelut berhubung hak bekalan air mentah dari Sungai Muda yang membabitkan kegunaan penduduk di kedua-dua negeri itu.

-Advertisement-

Sekretariat Sahabat Ulu Muda merangkap Presiden Sahabat Alam Malaysia (SAM) Meenakshi Raman berkata sudah tiba masanya perbalahan mengenai air mentah di Ulu Muda itu diketepikan dan kedua-dua kerajaan negeri perlu bersama-sama berbincang dan bertolak ansur untuk mencari titik persamaan demi kepentingan bersama.

“Dalam usaha bergerak ke hadapan, FoUM menyarankan agar kedua-dua kerajaan negeri mengambil langkah-langkah yang lestari antaranya melantik pengantara bebas, cekap, amanah, dan neutral untuk mengendalikan perbincangan antara kedua-dua kerajaan negeri.

“Selain itu, FoUM juga mencadangkan agar kedua-dua negeri berunding dengan pakar mengenai Bayaran Perkhidmatan Ekosistem (PES) berasaskan air bagi mendapatkan nasihat teknikal mengenai bagaimana untuk mewujudkan skim PES bagi kawasan tadahan air Sungai Muda,” katanya menerusi kenyataan di sini, hari ini.

Jelasnya, kerajaan negeri Pulau Pinang dan Kedah perlu mengadakan perbincangan dan mencapai persetujuan bersama mengenai skim PES; pengguna utama air Sungai Muda menyumbang dana bagi perlindungan kawasan tadahan air sungai yang kritikal, iaitu Kompleks Hutan Ulu Muda.

“Selain itu, kedua-dua pihak perlu mewujudkan suatu tabung amanah pemuliharaan Ulu Muda untuk mengendalikan dana yang diterima bagi perlindungan Kompleks Hutan Ulu Muda.

“Malah, satu lembaga pemegang amanah harus dilantik untuk mengawasi pengurusan tabung amanah berkenaan yang dianggotai oleh pihak berkepentingan termasuk pemilik dan pengurus sumber asli iaitu kerajaan negeri Kedah dan agensi-agensi utama yang terlibat dalam usaha melindungi kawasan tadahan air tersebut,” katanya lagi.

-Advertisement-

Meenakshi menambah, lembaga pemegang amanah tersebut perlu bersepakat mengenai bagaimana tabung amanah tersebut harus digunakan dengan tujuan untuk melindungi kawasan tadahan air.

“Antara anggota lembaga pemegang amanah lain yang perlu dilantik ialah pengguna air utama yang menyumbang kepada dana berkenaan (termasuk kerajaan Pulau Pinang dan sektor swasta) serta wakil daripada kerajaan Persekutuan yang bertanggungjawab terhadap sumber asli, perancangan guna tanah, pertanian dan kewangan.

“Selain itu, masyarakat sivil misalnya badan bukan kerajaan (NGO) alam sekitar dan pertubuhan komuniti serta institusi penyelidikan perlu dilantik bagi memastikan objektif tersebut dapat dicapai,” katanya.

Beliau berkata air sungai yang berpunca dari Kompleks Hutan Ulu Muda bukan milik eksklusif mana-mana pihak tetapi merupakan sumber yang dimiliki bersama.

“Ia adalah amat penting bagi bekalan air minuman kepada Kedah, Pulau Pinang dan Perlis serta pengairan sawah padi di Malaysia yang dilihat sebagai pemacu utama untuk pembangunan lestari,” katanya.

— BERNAMA


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373