Saham Critical Holdings bermula mantap di Bursa Malaysia

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUALA LUMPUR: Critical Holdings Bhd (Critical Holdings) hari ini memulakan dagangan sulungnya sebagai syarikat senaraian awam di di Pasaran ACE Bursa Malaysia Securities Bhd (Bursa Securities).

-Advertisement-

Harga saham Critical Holdings dibuka pada 50 sen, bersamaan dengan 42.9 peratus berbanding harga terbitan 35 sen, dengan menyaksikan sebanyak 25.98 juta saham bertukar tangan pada pembukaan dagangan.

Pergerakan harga saham syarikat itu semalam adalah sejajar dengan sambutan yang menggalakkan terhadap keputusan langganan tawaran awam permulaan (IPO) Critical Holdings di mana sebanyak 13,038 permohonan untuk 1.655 bilion saham terbitan telah diterima daripada orang ramai yang mewakili kadar lebihan langganan keseluruhan sebanyak 88.08 kali.

Bagi bahagian awam Bumiputera, sebanyak 7,379 permohonan untuk 739.26 juta saham terbitan telah diterima, mewakili kadar langganan sebanyak 78.55 kali, manakala 5,659 permohonan untuk 916.55 juta saham diterima bagi bahagian awam selebihnya, mewakili kadar terlebih langganan 97 kali.

Critical Holdings berjaya mengumpul sejumlah RM26.02 juta melalui penawaran 74.34 juta saham biasa baharu pada harga 35 sen setiap satu.

Daripada jumlah hasil yang diperoleh, RM6 juta diperuntukkan untuk pengambilalihan pejabat wilayah baharu, RM1.6 juta untuk perbelanjaan modal dan RM4.5 juta untuk pengembangan pasukan jualan dan teknikal di mana RM9.92 juta adalah untuk modal kerja, dan baki RM4 juta akan diperuntukkan untuk anggaran perbelanjaan penyenaraian.

Pengarah Bukan Bebas Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Critical Holding, Tan Si Lim, berkata penyenaraian itu adalah pencapaian korporat utama syarikat dengan membuat penampilan sulung di Pasaran ACE Bursa Malaysia Securities.

-Advertisement-

“Penyenaraian Critical Holdings menandakan kemajuan dalam komitmen kami untuk menyediakan penyelesaian dan perkhidmatan kejuruteraan mekanikal, elektrikal dan paip (MEP).

“Kami yakin dengan keupayaan kami untuk terus berkembang sebagai sebuah syarikat sambil memanfaatkan kepakaran kami untuk menyumbang kepada industri kejuruteraan,” katanya dalam satu kenyataan.

Sementara itu, MIDF Investment juga merupakan penaja jamin IPO berkenaan selain menjadi penasihat utama, penaja dan ejen penempatan untuk penyenaraian Critical Holdings.

Critical Holdings adalah firma penyelesaian reka bentuk dan kejuruteraan MEP dengan fokus teras terhadap reka bentuk dan binaan, pengurusan projek, membekal, memasang, menguji dan mentauliah sistem MEP bagi kemudahan kritikan yang baru dibina selain membangunkan semula, mengubah suai serta menaik taraf kemudahan kritikal sedia ada.

– BeritaHarian


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373