Sampah hanyut cemari Pantai Lagoon

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA TERENGGANU: Keindahan Pantai Lagoon berhampiran Masjid Tengku Tengah Zaharah di Kuala Ibai, di sini, tercemar apabila dipenuhi sampah hanyut susulan fenomena air pasang pada musim Monsun Timur Laut (MTL).

-Advertisement-

Tinjauan mendapati pantai sepanjang kira-kira dua kilometer di muara Sungai Ibai, dipenuhi batang, dahan dan ranting pokok hanyut, selain bongkah pokok nipah yang dihanyutkan. Difahamkan, keadaan itu mula dilihat sejak awal bulan ini serentak permulaan musim MTL.

Selain sisa berkenaan, pantai juga dicemari pelbagai jenis sampah, namun ia tidak menghalang orang ramai daripada terus berkunjung ke lokasi berkenaan untuk berkelah dan beriadah.
Pekerja syarikat pembersihan yang ditemui, memberitahu mereka kerap memersihkan pantai berkenaan, termasuk mengangkut sampah yang dihanyutkan, namun sisa bersaiz besar seperti batang dan dahan pokok serta bongkah pokok nipah tidak dapat dibersihkan secara manual.

-Advertisement-

“Sampah kecil seperti ranting pokok dan sisa seperti botol minuman serta bekas makanan yang dihanyutkan arus diambil setiap hari, terutama pada sebelah pagi. Pengurusan sudah mohon jentera untuk angkut sampah besar termasuk batang, dahan pokok serta bongkah pokok nipah,” katanya.

Sementara itu, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT), Rosli Latif, berkata sampah hanyut disebabkan air pasang besar, terutama sepanjang musim MTL sering dilihat di pantai dalam kawasan MBKT.
“Kontraktor sudah diminta melakukan kerja pembersihan di semua pantai dalam kawasan pentadbiran MBKT setiap hari, tetapi sampah tetap dihanyutkan ke pantai terutama apabila fenomena air pasang besar,” katanya.
-BeritaHarian


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373