Sarawak sasar lebih ramai warga asing sertai program rumah keduaku

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUCHING: Sarawak berharap program Sarawak-Malaysia Rumah Keduaku (S-MM2H) yang dilancarkan baru-baru ini akan menarik lebih ramai pelawat dan pelabur, termasuk dari China.

-Advertisement-

Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Sarawak, Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, keputusan meneruskan program itu akan menyumbang kepada ekonomi, melalui peningkatan dalam perbelanjaan dan pelancongan domestik.

Katanya, permohonan dibuka 1 Sept lalu untuk S-MM2H, yang menyediakan permit penduduk jangka panjang kepada warga asing yang membeli rumah di negeri itu.

Karim berkata, pihaknya menjangkakan program itu akan menarik 1,000 peserta baru, menjana pendapatan yang dianggarkan berjumlah RM8.34 juta dan pelaburan sebanyak RM31 juta menjelang 2030.

Sementara itu, Sim Kiang Chiok, pengerusi Persatuan Pemaju Hartanah Perumahan Sarawak (cawangan Kuching), berkata negeri itu memutuskan untuk menurunkan kelayakan umur bagi S-MM2H, dari 50 tahun dan ke atas kepada 40 tahun dan ke atas.

“Dahulu, program rumah ke-2 di Sarawak tidak begitu agresif seperti di Sabah dan Semenanjung. Kami bermula dengan program ‘silver hair’ untuk pesara, jadi kelayakan usia ialah 50 tahun dan ke atas.”

Katanya, fokus semasa ialah menggalakkan pemilikan rumah dalam kalangan warga asing.

-Advertisement-

Ditanya sama ada Covid-19 memaksa pelabur China menjual kediaman mereka di Malaysia, Sim berkata, situasi itu tidak signifikan di Sarawak.

“Kita mempunyai sejumlah kecil peserta S-MM2H dari China, hanya 214 orang dalam 13 tahun lalu.”

Pada 4 Ogos lalu, Putrajaya mengumumkan MM2H dibekukan sementara bagi memberi ruang kepada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya serta agensi berkaitan mengkaji dan menilai semula program itu secara komprehensif.

Keputusan itu sejajar langkah kerajaan belum membenarkan warga asing memasuki negara ini berikutan penularan Covid-19.

Tetapi, Sarawak mempunyai dasar imigresen dan tanah sendiri, yang membolehkan negeri itu meneruskan program berkenaan.

-FMT


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373