Sekolah Boleh Ditutup Sementara Jika Suhu Melebihi 37°C Tiga Hari Berturut‑turut

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA LUMPUR 27 Mac 2026 (The Capital Post) – Sekolah‑sekolah di negara ini dibenarkan ditutup sementara sekiranya suhu melebihi 37 darjah Celsius selama tiga hari berturut‑turut di bawah garis panduan yang telah ditetapkan oleh Kementerian Pendidikan (KPM).

Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh, berkata langkah itu merupakan antara langkah keselamatan yang digariskan oleh kementerian sejak 2023 bagi melindungi kesihatan pelajar dan guru ketika menghadapi cuaca panas yang melampau.

Beliau menjelaskan bahawa pentadbir sekolah, termasuk pengetua dan guru besar, serta Pejabat Pendidikan Daerah perlu sentiasa memantau bacaan suhu harian di kawasan masing‑masing dan mengambil tindakan segera sekiranya paras suhu kekal tinggi.

-Advertisement-

Wong turut menegaskan bahawa semua aktiviti luar bilik darjah seperti merentas desa, perkhemahan, latihan dan permainan perlu digantung sementara waktu jika suhu berada antara 35 hingga 37 darjah Celsius untuk tempoh tiga hari berturut‑turut.

Menurutnya, penyelarasan tindakan ini adalah penting untuk memastikan keselamatan murid, terutama dalam keadaan cuaca panas dan kering yang dijangka berterusan di banyak kawasan di negara ini. –The Capital Post