SHAH ALAM 16 NOVEMBER 2026 (The Capital Post) – Kerajaan Negeri Selangor akan meneliti bentuk bantuan bersesuaian untuk penjaja dan peniaga kecil yang mengalami kerugian akibat banjir bagi membantu meringankan beban golongan berkenaan.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, berkata kerajaan negeri bersedia memberikan sokongan kepada peniaga terjejas, khususnya di kawasan Kuala Selangor yang masih berdepan situasi banjir termenung.
Beliau berkata pihaknya akan mendapatkan maklumat serta data terperinci terlebih dahulu bagi mengenal pasti jumlah peniaga yang terkesan sebelum menentukan bentuk bantuan yang diperlukan.
Menurutnya, bantuan yang dipertimbangkan tidak semestinya berbentuk wang tunai, terutama bagi peniaga yang mengalami kerugian besar dan memerlukan sokongan lebih menyeluruh.
“Jadi, kita mungkin boleh tukar kepada beberapa perkara yang dapat meringankan beban dan komitmen bulanan mereka terutama penjaja kecil,” katanya selepas merasmikan penutupan Sambutan Hari Penjaja dan Peniaga Kecil Peringkat Negeri Selangor (HPPKS) 2026 di Dataran Kemerdekaan Shah Alam malam tadi.
Dalam perkembangan berkaitan, Amirudin berkata kerajaan negeri turut memberi keutamaan kepada penyaluran bantuan kewangan kepada mangsa banjir seperti yang diumumkan oleh kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri sebelum ini.
Beliau berkata bantuan perlu disalurkan secepat mungkin kepada Ketua Isi Rumah (KIR), termasuk bantuan tambahan sebanyak RM500 yang disediakan oleh Kerajaan Negeri Selangor.
-Advertisement-
Katanya, terdapat dua kategori penerima bantuan, iaitu mangsa yang berdaftar dan ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS), serta mereka yang tidak tinggal di PPS.
Sementara itu, mengulas penganjuran HPPKS 2026, Amirudin berkata program selama dua hari itu berjaya menarik kehadiran kira-kira 15,000 pengunjung dan mencatatkan nilai jualan hampir RM200,000.
Beliau berkata program anjuran Jawatankuasa Tetap Belia, Sukan dan Keusahawanan negeri bersama Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) (MBI) itu berperanan sebagai platform memperkasa usahawan mikro melalui peluang pemasaran, pendedahan kepada teknologi digital dan pembinaan jaringan perniagaan.
Memasuki tahun kedua penganjurannya, program berkenaan turut menunjukkan peningkatan dari segi jumlah pengunjung dan nilai jualan menerusi inisiatif Platform Selangor (PLATS) serta Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).
Turut hadir pada majlis itu ialah Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan negeri, Najwan Halimi; Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan) merangkap Pengarah Unit Pembangunan Ekonomi Negeri (UPEN), Datuk Johary Anuar; serta Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MBI, Datuk Saipolyazan M Yusop. – The Capital Post