Semua Ahli Parlimen kerajaan sokong RUU lompat parti

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUALA LUMPUR: Semua Ahli Parlimen kerajaan, khususnya daripada UMNO dan BERSATU memberi gambaran akan menyokong Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) (No 3) 2022 berkaitan larangan wakil rakyat bertukar parti yang akan dibentang di Dewan Rakyat Rabu ini.

-Advertisement-

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, berkata perkara itu jelas dilihat dalam sesi taklimat dan libat urus RUU itu membabitkan Ahli Parlimen kerajaan hari ini.

Dalam sesi libat urus itu, katanya, hanya sejumlah kecil soalan dibangkitkan berikutan RUU berkenaan sudah melalui proses perbincangan mendalam dalam Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen dianggotai Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang.

“Dalam sesi libat urus tadi, memang tiada (penentangan dan penolakan terhadap RUU Perlembagaan (Pindaan) (No 3) 2022) kerana semua orang menunggu RUU ini.

esok

“Ada tiga, empat persoalan dibangkitkan tadi tetapi kebanyakannya berhubung dengan hal ehwal dalam Dewan, misalnya Ahli Parlimen minta diberi tempoh sekurang-kurangnya 10 minit untuk membahaskan RUU ini.

“Jadi, saya akan berbincang dengan Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun berhubung perkara ini,” katanya pada sidang media di Parlimen, hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan BERSATU secara kolektif tidak bersetuju dengan syarat kerusi dikosongkan bagi mana-mana Ahli Parlimen yang dipecat kerana melompat parti, sekali gus memberi laluan kepada Pilihan Raya Kecil (PRK) diadakan.

Namun, Ketua Penerangan BERSATU, Datuk Wan Saiful Wan Jan menafikan laporan berkenaan dan menegaskan komitmen parti itu dengan menghantar wakil ke sesi perbincangan mengenai RUU terbabit.

Wan Junaidi berkata, Ahli Parlimen kerajaan turut membangkitkan persoalan sama ada RUU itu mengikat Ahli Parlimen dengan pendirian parti dalam menyokong usul tertentu seperti di India, namun beliau memaklumkan undang-undang di Malaysia berbeza dan lebih liberal.

-Advertisement-

“Jika Ahli Parlimen tidak menyokong pendirian parti atau gabungan parti dalam usul tertentu, ia tak menjadi satu kesalahan. Ini tidak sama seperti di India, di mana keputusan bertentangan dengan kemahuan parti boleh menyebabkan Ahli Parlimen terkeluar parti.

“Kita tidak tetapkan kuasa pada Whip parti untuk tentukan jenis usul yang perlu disokong. RUU kita lebih liberal daripada sudut itu,” katanya.

Katanya, RUU yang akan dibentang oleh Perdana Menteri itu juga hanya tertakluk pada anggota Dewan Rakyat, dan tidak merangkumi senator lantikan parti di Dewan Negara.

Selain itu, katanya, RUU berkenaan turut menggubal undang-undang yang boleh dikuatkuasakan di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) sekiranya Sultan atau Yang di-Pertua Negeri bersetuju untuk melaksanakan RUU terbabit.

“Untuk peringkat DUN, kita pinda Jadual Kelapan. Tapi, penguatkuasaannya di peringkat negeri hanya akan dibuat selepas perbincangan antara Yang di-Pertuan Agong dengan Sultan dan Yang di-Pertua Negeri.

“Dalam RUU ini, ada kerangka undang-undang yang boleh diterima pakai di peringkat negeri jika mereka setuju untuk laksanakannya, jika setuju hanya perlu gazet dan dibawa ke DUN untuk diluluskan,” katanya.

Sementara itu, Datuk Seri Ahmad Maslan yang hadir dalam sesi libat urus itu, memaklumkan akan membangkitkan persoalan sama ada takrifan lompat parti terpakai bagi komponen yang bertukar parti dalam sesi perbahasan Rabu ini.

“Contoh PAS masuk BERSATU dengan lambang Perikatan Nasional (PN) yang sama. Ada dua pendapat ketika ini iaitu ia dianggap lompat parti atau dianggap tidak kerana masa bertanding guna logo PN,” katanya ringkas kepada BH.

-BH