KKR-Sabah Perkukuh Sinergi Percepat Pembangunan Infrastruktur

Estimate Reading Time: < 1 minute

KOTA KINABALU 4 September 2026 (The Capital Post) – Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sabah memperkukuh kerjasama strategik bagi memastikan agenda pembangunan infrastruktur di negeri itu dapat dilaksanakan dengan lebih pantas dan berkesan.

Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya (KKR), YBhg. Dato’ Seri Azman bin Ibrahim, hari ini mengadakan siri kunjungan hormat kepada Ketua Menteri Sabah, YAB Datuk Seri Panglima Haji Hajiji bin Haji Noor, Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah, YB Datuk Zainudin bin Aman serta Setiausaha Persekutuan Sabah, YBhg. Datuk Mohd Razali bin Wahab.

Pertemuan tersebut memberi tumpuan kepada usaha memastikan pelaksanaan projek pembangunan utama KKR, khususnya Lebuhraya Pan Borneo Sabah (LPB Sabah), terus berjalan mengikut perancangan dan mencapai sasaran yang ditetapkan.

Antara perkara yang diberi perhatian ialah penyelesaian isu berkaitan pengalihan utiliti, pengambilan tanah, penyelarasan antara agensi serta keperluan mempercepatkan proses membuat keputusan bagi mengelakkan sebarang kelewatan dalam pelaksanaan projek.

KKR menegaskan bahawa setiap kelewatan projek boleh memberi kesan kepada kos kerajaan, ekonomi serta peluang pembangunan dan kesejahteraan rakyat Sabah. Justeru, isu yang menjadi penghalang kepada kemajuan projek perlu ditangani secara menyeluruh menerusi pendekatan seluruh kerajaan dengan tindakan, garis masa dan pihak bertanggungjawab yang jelas.

-Advertisement-

Pendekatan berkenaan selari dengan budaya penyampaian KKR yang menekankan kepantasan bertindak, tanggungjawab, akauntabiliti serta tindakan susulan sehingga sesuatu keputusan benar-benar dilaksanakan.

Kejayaan projek pembangunan, menurut KKR, bukan hanya bergantung kepada jumlah mesyuarat atau keputusan yang dibuat, sebaliknya perlu diterjemahkan kepada kemajuan fizikal dan manfaat yang dapat dirasai secara langsung oleh rakyat.

KKR turut menghargai komitmen Kerajaan Negeri Sabah serta seluruh jentera Persekutuan di negeri berkenaan dalam memperkukuh kerjasama pembangunan. Kesepaduan antara kedua-dua pihak diyakini mampu mempercepatkan pembangunan infrastruktur, meningkatkan hubungan antara komuniti, merancakkan aktiviti ekonomi serta membuka lebih banyak peluang untuk masa depan Sabah yang sejahtera. – The Capital Post