Setiausaha hilang RM80,000 duit KWSP melabur buluh kasap

Estimate Reading Time: < 1 minute

JASIN: Impian seorang wanita meraih pulangan lumayan berkecai apabila wang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) miliknya berjumlah lebih RM80,000 lesap selepas melabur dalam pelaburan tidak wujud dalam talian.

Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintendan Ahmad Jamil Radzi, berkata mangsa berusia 50 tahun mula melabur dalam skim pelaburan diiklankan di Facebook itu sejak Julai lalu.

Berdasarkan laporan mangsa tertarik menyertai pelaburan selepas melayari laman Facebook sebelum menekan pautan diberikan sindiket dan disambungkan ke aplikasi WhatsApp.

“Suspek kemudian menerangkan kepada mangsa berhubung pakej pelaburan yang ditawarkan serta memintanya membayar duit pendaftaran pelaburan RM1,235.

“Dengan bayaran itu mangsa ditawarkan satu pakej pelaburan dan menerima pulangan keuntungan kali pertama sebanyak RM8,000 namun tidak dapat dikeluarkan.

“Teruja dengan pulangan dalam masa singkat, mangsa yang juga bekas setiausaha syarikat swasta berhasrat untuk menambah jumlah pelaburan bagi mendapatkan keuntungan yang lebih besar,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Ahmad Jamil, siasatan mendapati mangsa mengeluarkan simpanan KWSP sejak Julai lalu dan membuat beberapa transaksi kemasukan wang secara berperingkat ke dalam lima akaun bank milik individu yang berbeza.

“Jumlah keseluruhan wang yang dibayar adalah RM82,175, namun mangsa berasa tertipu apabila gagal membuat pengeluaran keuntungan yang dipaparkan.

“Malah, dia turut diarahkan lagi untuk membuat bayaran tambahan RM20,000 kononnya sebagai cukai pengeluaran wang.

“Berikutan itu mangsa hadir ke Balai Polis Jasin untuk membuat laporan polis dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana kesalahan menipu,” katanya.
-BeritaHarian


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5464