SMT Kini Dikenali Sebagai SBP Teknikal

Estimate Reading Time: < 1 minute

PUTRAJAYA 12 Jun 2026 (The Capital Post) – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) melaksanakan penstrukturan baharu dalam pengurusan pendidikan teknikal apabila pengurusan Sekolah Menengah Teknik (SMT) secara rasmi diserahkan kepada Bahagian Pengurusan Sekolah Berasrama Penuh (BPSBP).

Majlis penyerahan tersebut disaksikan oleh Menteri Pendidikan bersama barisan pengurusan tertinggi KPM serta sembilan pengetua SMT sempena Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Pendidikan yang berlangsung pada 11 Jun lalu.

Langkah tersebut menandakan fasa baharu dalam usaha memperkukuh pengurusan dan kecemerlangan institusi pendidikan teknikal negara menerusi pendekatan yang lebih tersusun di bawah kendalian BPSBP.

KPM turut merakamkan penghargaan kepada Bahagian Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (BPLTV) atas peranan serta sumbangan yang telah diberikan dalam menerajui pengurusan Sekolah Menengah Teknik selama ini.

-Advertisement-

Melalui penstrukturan tersebut, institusi yang sebelum ini dikenali sebagai Sekolah Menengah Teknik akan menggunakan nama baharu iaitu Sekolah Berasrama Penuh Teknikal (SBP-T), selaras dengan hala tuju pengurusan yang diperkenalkan.

Perubahan ini dijangka menjadi pemangkin kepada usaha mempertingkat kualiti pendidikan teknikal, memperkukuh pembangunan bakat serta melahirkan lebih ramai pelajar berkemahiran tinggi yang mampu memenuhi keperluan industri dan pembangunan negara pada masa hadapan. – The Capital Post